Aksi final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 pada minggu hadapan bakal menemukan dua bekas juara yang memburu trofi kedua dalam saingan paling berprestij di benua tersebut.
Maghribi yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri terpaksa mengharungi detik penuh mendebarkan sebelum mengesahkan kemaraan.
Baca Juga:
- AFCON 2025: Senarai Pasukan Layak Ke Separuh Akhir

- Drama Tiga Penjaga Gol Uganda Tamatkan Kempen AFCON 2025 Dengan Kekecewaan

- AFCON 2025: Maghribi Tundukkan Comoros 2-0, El Kaibi Pukau Peminat Dengan Gol Sepakan Gunting

Juara AFCON edisi 1976 itu terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit aksi dan pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Selepas sepakan pertama disempurnakan Neil El Aynaoui dan Paul Onuachu, Hamza Igamane serta Samuel Chukwueze kecewa selepas sepakan mereka diselamatkan penjaga gol lawan masing-masing.
Yassine Bounou kemudiannya menyelamatkan sepakan keempat oleh Bruno Onyemaechi dan Youssef En-Nesyri tidak bermasalah untuk membawa Maghribi ke final AFCON 2025 hasil sepakan yang melepasi jangkauan Stanley Nwabali.
Maghribi Hadapi Senegal Di Final AFCON 2025
Sementara itu, Senegal mengenepikan cabaran pasukan pilihan juara, Mesir yang diketuai Mohamed Salah dan Omar Marmoush.
Sepanjang perlawanan, skuad kendalian Pape Thiaw itu dilihat lebih garang dengan lebih menguasai permainan dan melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.
Jaringan kemenangan juara edisi 2021 itu hadir pada minit ke-78 menerusi percubaan leret dari luar kawasan penalti oleh Sadio Mane yang hanya mampu dipandang penjaga gol Mesir, Mohamed El Shenawy.
Aksi final AFCON 2025 melibatkan Maghribi dan Senegal itu bakal berlangsung pada awal pagi Isnin depan di Prince Moulay Abdellah Stadium, Rabat.