Senegal jelas langsung tidak menghiraukan keputusan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) yang memberikan kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 kepada Maghribi.
Hal ini kerana skuad kendalian Pape Thiaw itu tetap meraikan kejayaan tersebut dengan berarak membawa trofi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) sebelum sepak mula aksi persahabatan menentang Peru di Stade de France, semalam.
Walaupun kejuaraan tersebut sudah dilucutkan, para pemain dan staf pasukan mempamerkan trofi itu dihadapan penyokong mereka.
Nasib Malang Senegal
Keputusan CAF pada awal bulan ini dibuat dua bulan selepas penamat penuh kontroversi kejohanan tersebut.
Lembaga rayuan memutuskan bahawa pasukan Senegal dianggap kalah dalam perlawanan akhir selepas mereka meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap sepakan penalti yang dipertikaikan pada lewat masa kecederaan.

Tindakan meninggalkan padang itu, yang dicetuskan oleh Pape Thiaw, menyebabkan perlawanan tertangguh lama. Apabila permainan akhirnya disambung semula, sepakan penalti Brahim Diaz berjaya diselamatkan oleh Edouard Mendy.
Pape Gueye kemudian menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan, namun berlaku kekecohan dalam kalangan penonton serta saling tuduh-menuduh selepas perlawanan.
Selepas meneliti situasi tersebut, lembaga rayuan mengambil langkah luar biasa dengan membatalkan keputusan perlawanan dan menghadiahkan kemenangan 3-0 kepada Morocco.
Persekutuan Bola Sepak Senegal kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk menegakkan keadilan.