Pemain tengah Senegal, Idrissa Gueye menganggap keputusan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) memberikan kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 kepada Maghribi atas kontroversi pada aksi final tempoh hari adalah perkara yang mengarut.

Beliau menganggap pembatalan kemenangan 1-0 itu tidak memberikan apa-apa makna buat Senegal kerana ia adalah ‘takdir’ buat mereka untuk muncul juara.

Lembaga rayuan CAF telah menganugerahkan kejuaraan kepada Maghribi selepas pemain Senegal didapati meninggalkan padang buat seketika sebagai tanda protes terhadap penalti yang dipertikaikan, yang diberikan kepada pihak lawan pada masa kecederaan.

Gueye Pertikai Keputusan Mengarut CAF

Keputusan dramatik yang nyata mencetuskan pertikaian itu jelas tidak disenangi pemain tengah Everton tersebut.

“Saya rasa keputusan ini memang mengarut. Kami menang perlawanan di atas padang, bukan di pejabat, dan sebagai pemain Senegal saya bangga dengan apa yang kami lakukan.”

“Kami layak mendapat trofi ini. Kami berjuang di atas padang dan semua orang tahu apa yang berlaku. Saya rasa kalau perlawanan ini dimainkan 10 kali, kami akan menang 10 kali,” ujar Gueye menurut sumber laporan Sky Sports.

“Bukan kerana kami lebih bagus daripada Maghribi, tetapi kerana itu adalah takdir kami. Kami memberikan segalanya di atas padang dan kami layak menjadi juara”

“Kami sebenarnya tidak kisah tentang pingat atau trofi, kerana perkara paling penting adalah apa yang berlaku di atas padang, bukan apa yang ditulis di atas kertas.”

“Di atas padang kami menang dan tiada siapa boleh mengubahnya.”

“Mereka yang membuat keputusan ini mungkin menentang Afrika. Afrika tidak perlukan keputusan seperti ini kerana semua orang sudah mula bercakap tentang Africa Cup of Nations dan membandingkannya dengan Eropah serta Copa America.”

“Saya rasa Afrika tidak layak diperlakukan seperti ini.”

Idrissa Gueye turut berkata tiada sebarang perasaan buruk antara kedua-dua negara, yang dapat dilihat melalui hubungannya dengan rakan sepasukan di Everton dan pemain antarabangsa Maghribi, Adam Aznou.

“Kami hanya ketawa tentang perkara ini kerana kadang-kadang ia kelakar.

“Kami semua bersaudara dan tiada siapa boleh memaksa saya untuk membenci rakyat Maghribi. Maghribi dan Senegal mempunyai hubungan yang baik.”

Sumber