Seorang lelaki dipercayai Ah Long dengan selamba berjalan kaki sambil melenggang di hadapan sebuah rumah dan membaling cecair yang meletuskan kebakaran.

Perbuatannya itu dirakam oleh CCTV dipercayai daripada rumah yang dibalingnya dengan molotov cocktail itu.

Video tersebut telah tular. Dan menurut laporan Sinar Harian, kejadian berlaku di Desa Jaya pada Sabtu lalu.

Lelaki tersebut yang berpakaian kelabu, memakai topi dan pelitup muka, telah bertindak dengan sangat mengejutkan.

Dia meletakkan notis dahulu – dipercayai amaran kepada peminjam – di hadapan rumah tersebut sebelum bertindak membaling molotov cocktail ke dalam kawasan tempat letak kereta di hadapan rumah itu.

Tindakannya itu membuatkan sebahagian daripada kawasan rumah tersebut terbakar. Dan turut merebak ke kawasan jiran sebelah.

Mujur tiada kebakaran besar yang berlaku daripada api tersebut.

Sumber yang sama melaporkan bahawa pihak Polis sudah menerima laporan berkenaan dengan kejadian itu.

Buat masa ini tiada lagi penahanan dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan kejadian tersebut.

Netizen menganggap tindakan itu sangat melampau. Bayangkan kawasan kejiranan tersebut semua musnah terbakar, walaupun jiran jiran yang lain tidak ada kaitan pun dengan Ah Long tersebut.

Yang lain mahu Ah Long tersebut ditangkap segera dan dikenakan tindakan paling berat. Kerana ianya jelas perbuatan yang mendorong kepada kebakaran yang boleh mengancam nyawa ramai manusia di kawasan tersebut.

Seterusnya ada juga yang mahu kerajaan Malaysia menggempur Ah Long ini habis habisan kerana mereka adalah ancaman keselamatan kepada orang awam.