Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, semakin ramai rakyat Malaysia mencari jalan keluar melalui pinjam ah long.

Namun, kisah seorang lelaki pinjam ah long sebanyak RM50,000 tetapi akhirnya terhutang RM4 juta menunjukkan betapa bahayanya perangkap ini, lapor China Press.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Setiausaha Agung Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, See Foo Hoong, mendedahkan kes lelaki tersebut dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Lelaki itu pada mulanya meminjam RM50,000 daripada ah long tetapi hanya menerima RM27,000 selepas potongan “yuran pemprosesan.”

Keadaan menjadi lebih buruk apabila lelaki itu terus meminjam daripada 16 ah long yang lain untuk menutup hutang-hutangnya yang semakin meningkat.

“Beliau hanya menerima 40% hingga 60% daripada jumlah yang dipinjam. Apabila beliau tidak dapat membayar jumlah tersebut kerana kadar faedah yang tinggi, beliau terus meminjam daripada ah long lain untuk menutup hutang sebelumnya,” kata See.

Keluarga mangsa telah membayar lebih daripada RM4 juta, tetapi ah long masih mendakwa mereka berhutang RM4 juta lagi.

Apabila mangsa tidak dapat membayar, mereka datang kepada See untuk mendapatkan bantuan.

Sebagai syarat untuk meminjam wang, ah long meminta mangsa untuk mengambil gambar luar rumah mereka, kemungkinan besar untuk tujuan kutipan hutang pada masa hadapan.

Mangsa kemudian menghantar salinan kad pengenalan ibu bapa, adik-beradik, dan isterinya kepada ah long tersebut.

Atas nasihat See, mangsa telah membuat laporan polis dan menyediakan bukti yang diperlukan kepada pihak berkuasa.