Ahli ekonomi menjangkakan peningkatan pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada separuh pertama 2025 dapat menghasilkan pembayaran dividen lebih tinggi tahun ini.
Sementara kenaikan berterusan dalam pasaran ekuiti global akan melonjakkan lagi prestasi suku ketiga, petik Harian Metro.
Baca Juga:
- ‘Hampir RM15 Bilion Pengeluaran Akaun Fleksibel KWSP Setakat Jun’ – Anwar Ibrahim

- RMK13: Kerajaan Pertimbang Pembayaran Pencen Bulanan Daripada KWSP

- Badan Pemikir Cadang Wujudkan Insurans Kesihatan Negara Guna Caruman KWSP, Ini Caranya

Menurut Profesor Madya Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul, walaupun terdapat kemungkinan untuk melihat pembayaran dividen lebih tinggi untuk 2025, berdasarkan prestasi separuh pertama 2025, peningkatan peratusan daripada tahun sebelumnya berkemungkinan tidak ketara.
“Ini berikutan peratusan pencarum baharu dan caruman sukarela lebih tinggi yang membawa sumbangan lebih tinggi, justeru jumlah peruntukan lebih tinggi untuk dividen diperlukan hanya untuk mengekalkan peratusan sama, malah lebih banyak lagi jika dividen lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Jelas beliau, peruntukan lebih tinggi yang diperlukan untuk mengekalkan peratusan dividen disumbang oleh pertambahan pencarum baharu dan caruman sukarela yang mencerminkan kesedaran lebih tinggi dalam kalangan pekerja mengenai persediaan untuk bersara.
Prestasi separuh pertama 2025 KWSP positif
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi separuh pertama 2025 KWSP disokong oleh pasaran ekuiti global, naik semula pada separuh kedua 2025 seperti dicatatkan pada separuh pertama 2025.
Beliau berkata, ia berbanding pendapatan pelaburan suku pertama 2025 yang turun 13 peratus kepada RM18.31 bilion daripada RM20.99 bilion pada suku sama pada 2024.
“Setakat ini, kita melihat pasaran ekuiti global terus menunjukkan peningkatan yang munasabah, diunjurkan menyumbang secara positif kepada prestasi suku ketiga,” katanya.
Beliau berpendapat KWSP wajar dipuji sekiranya dapat mengekalkan kadar dividen sama pada tempoh ketidaktentuan pasaran.
Ini kerana kekayaan pengalaman dana persaraan itu dalam mengharungi cabaran, ditambah dengan strategi peruntukan aset akan membantunya mencapai pulangan pelaburan memuaskan untuk keseluruhan 2025.