Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung seorang pelajar lelaki berbangsa Melayu telah meraih keseluruhan anugerah cemerlang di sebuah sekolah Cina.
Kisah adik ini menjadi perhatian ramai apabila videonya naik ke pentas telah dikongsi oleh kakak kandung di platform TikTok.
Selain Tokoh Pelajar Terbaik, Khidir juga meraih empat lagi anugerah, termasuk Anugerah Timbalan Ketua Pengawas dan Anugerah Terbaik Mata Pelajaran.
@itsazzahraaa So proud of you brother! Fly high and higher❤️ #brother #highschool @Khidir do your best for SPM!
Memetik Harian Metro, Ahmad Khidir Ahmad Nazri dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee bukan hanya menarik perhatian netizen, malah lebih mengujakan kerana turut menarik perhatian daripada sebuah universiti terkemuka di negara ini walaupun belum tamat persekolahan.
Ahmad Khidir, 17, berkata dia mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan seorang daripada gurunya yang mendapat kiriman mesej daripada wakil universiti berkenaan di TikTok.
“Saya terkejut apabila Cikgu Sejarah maklumkan ada wakil universiti daripada bahagian pengambilan penuntut mahukan butiran lanjut mengenai saya.
“Tapi pihak universiti berkenaan belum menghubungi saya mahupun keluarga. Ikutkan saya memang berhasrat sambung pengajian ke peringkat universiti dalam bidang sumber manusia dan kalau boleh nak ke Universiti Malaya (UM) atau Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Tapi buat masa sekarang kena fokus dengan SPM dulu kerana nak dapat keputusan terbaik memandangkan sudah buat persediaan sejak Tingkatan Tiga lagi,” katanya.
Selain pihak universiti, ada juga beberapa individu menghantar kiriman mesej kepadanya untuk bertanya perihal akademik.
“Memang ada yang bertanya tips macam mana saya belajar bahasa Mandarin, dan Prinsip Perakaunan, malah ada pelajar Tingkatan Tiga yang ingin tahu macam mana pilih aliran ke Tingkatan Empat.
“Jadi, saya kongsi mana yang termampu kerana nak orang lain pun berjaya,” katanya.