Menjadi satu prioriti buat para ibu bapa untuk mendapatkan fasiliti terbaik dan persekitaran kondusif buat anak-anak mereka ketika di sekolah.

Walaupun kerajaan sedia memperuntukkan bajet buat sekolah di seluruh Malaysia, kita boleh lihat ia tidak mencukupi untuk menampung kos tambahan fasiliti yang lain.

Sehubungan itu, ramai ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) sedia mengumpul dana sendiri dalam meningkatkan fasiliti sedia ada untuk para pelajar.

Baru-baru ini, tular di platform media sosial yang memperlihatkan keadaan fasiliti tandas yang serba mewah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Chung Kwok, Kuala Lumpur.

Sumber Gambar: FB SJKC Chung Kwok

Sekali pandang, ramai pasti menyangka bahawa tandas itu berada di tempat membeli-belah mewah walaupun realitinya ia hanya di sebuah sekolah sahaja.

Difahamkan, kos pengubahsuaian tandas tersebut disumbangkan oleh ibu bapa kepada anak-anak murid yang bersekolah di sana.

Tidak terhenti di situ, seorang wanita dikenali sebagai Syafiqah (@MissKinkiychu) terkejut melihat satu papan besar yang terpapar di SJKC Chung Kwo menunjukkan nama-nama dipercayai para penjaga dan beberapa pihak berkepentingan yang menyalurkan dana tinggi kepada sekolah berkenaan.

Apa yang mengejutkan lagi adalah jumlah sumbangan yang disalurkan mencecah jutaan ringgit pada papan besar itu. Jika ditambah nilai kesemuanya, pasti boleh mencecah puluhan juta.

Dengan jumlah sebanyak itu, sudah pasti sekolah dapat menyediakan fasiliti terbaik buat anak-anak muridnya untuk belajar dalam satu persekitaran sekolah yang baik dan selesa.

Difahamkan tajaan RM2 juta itu adalah sumbangan daripada pihak NGO The Community Chest untuk pembinaan buatan dewan serba guna baru.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tidak sangka dengan nilai sumbangan yang amat tinggi itu. Malah ada juga yang berpendapat bahawa fasiliti di mana-mana SKJC selalu berada dalam keadaan terbaik.

“Banyak sekolah cina saya lawat, memang mereka buat macam ini, fasiliti memang tip-top. Transparent dan pada hemat saya ia mewujudkan ‘sense of belonging’ kepada sekolah,” kata seorang lelaki.

“Salah seorang kawan cina saya kongsi dia pernah jadi pengerusi PIBG dekat SJKC anak dia. Dia cakap dana memang banyak dan banyak event boleh buat. Buat pula yang gempak-gempak. Yang penting setiap tahun akan buat pembentangan duit pergi mana,” ujar seorang netizen lain.

“Mak saya pernah sekali mengajar di SJKC. Dia kata ibu bapa memang memberi sumbangan habis-habisan kepada sekolah. Kalau ada acara ke apa memang ibu bapa keluarkan sumbangan besar berbanding dengan SK biasa,” luah seorang netizen.

Sementara itu, ramai juga terinspirasi dengan perkara tersebut dan berkata sumbangan tinggi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) mampu menyediakan suasana belajar yang baik buat anak-anak

Sumber