Sejumlah RM23 juta berjaya dikumpulkan bagi pembinaan dan pembangunan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang, Selangor, menerusi satu konsert amal yang dihadiri oleh 600 tetamu.
Memetik The Star, SJK (C) Sunsuria, yang bakal dibina di atas sebidang tanah seluas 2.83 hektar, disasarkan siap menjelang tahun 2027.
Sekolah ini akan dilengkapi dengan 24 bilik darjah, dua bilik sumber pendidikan khas, dua makmal sains, serta sebuah bengkel reka bentuk dan teknologi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SJK (C) Sunsuria, Tan Sri Ter Leong Yap berkata, jumlah yang dikumpulkan itu kini hampir mencecah sasaran RM26 juta yang diperlukan bagi projek berkenaan.
“Daripada kemudahan sekolah dan persekitaran pembelajaran sehinggalah kepada logo, moto serta lagu sekolah, setiap aspek telah dirancang dengan teliti demi memupuk kecemerlangan akademik bersama budaya sekolah yang utuh berteraskan nilai, sahsiah, dan semangat kekitaan,” katanya semasa konsert bertemakan “Echoes of Melody” di Universiti Xiamen Malaysia di Sepang, Selangor.
Ter turut menyatakan bahawa bidang pendidikan merupakan satu pelaburan jangka panjang dalam memupuk bakat-bakat baharu untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
“Apa yang kita lakukan hari ini bakal menjadi harapan negara pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang memaklumkan bahawa SJK (C) Sunsuria merupakan salah satu daripada 10 sekolah rendah jenis kebangsaan Cina yang telah diluluskan pembinaannya oleh pihak kerajaan pada tahun 2017.
Daripada 10 buah sekolah tersebut, lima daripadanya terletak di Selangor dan Wong berharap kesemuanya dapat disiapkan menjelang tahun 2027.
“Pada Mei 2024, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama-sama saya telah menyempurnakan majlis pecah tanah untuk SJK (C) Sunsuria, sekali gus menjadikannya sekolah pertama daripada lima sekolah tersebut yang memulakan pembinaan secara rasmi.”
“Pada tahun yang sama, SJK (C) Gamuda Cove turut mengadakan majlis pecah tanah,” katanya.
Beliau menambah bahawa tiga lagi sekolah lain – SJK (C) Eco World, SJK (C) Lee Loy Seng dan SJK (C) Too Joon Hing – juga sedang menunjukkan perkembangan yang baik.
Wong turut menyatakan harapan agar pembinaan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dapat dimasukkan secara berperingkat ke dalam belanjawan negara dan Rancangan Malaysia bagi menginstitusikan pembangunannya.
“Pihak kerajaan telah pun memasukkan projek perpindahan SJK (C) Aik Hua di Terong, Perak, ke dalam Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), yang bermaksud ia akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
“Kami berharap ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak kemajuan pada masa hadapan,” tambah Wong.
Memetik The Star lagi, para tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan, termasuk kumpulan gendang 24 perayaan, koor (koir), dan ensembel a cappella.
Pelakon dan penyanyi yang berpangkalan di Hong Kong, Puan Sri Chelsia Chan, serta pakar erhu dan penerbit muzik kelahiran Hong Kong, Chu Wan Pin, turut membuat penampilan.
Logo, moto, dan lagu rasmi SJK (C) Sunsuria turut dilancarkan semasa konsert berkenaan.
Majlis penyerahan replika cek sumbangan daripada pelbagai pihak turut diadakan, menyaksikan Ter menyumbang sebanyak RM5 juta kepada sekolah tersebut.
Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.