Antony akhirnya tampil bersuara tentang layanan tidak menyenangkan oleh Man United ke atasnya sebelum dia berpindah ke Real Betis.

Menurut Antony, dia berdepan dengan detik sukar ketika di Man United. Dia diarahkan berlatih berasingan dan seorang diri.

Antony tetap akur bahawa, ini lumrah kehidupan dan dia sentiasa yakin bahawa dia akhirnya akan dapat menyertai Real Betis.

Antony berkata: “Apa yang berlaku di Manchester, hanya saya yang tahu betapa sukarnya ia.”

Antony kemudian mengambil sedikit masa lagi untuk mengesat air matanya, sambil menambah: “Saya minta maaf. Latihan secara berasingan… tetapi itu sebahagian daripada kehidupan. Saya tahu saat ini akan tiba. Itu adalah pada masa lalu.

“Bezanya! Seville lebih cantik daripada Manchester. Saya akhirnya di sini.

“Saya telah menghabiskan lebih daripada 40 hari di sebuah hotel, ia sangat sukar tetapi semua orang tahu bahawa saya mahu kembali ke Betis. Kini dengan lebih banyak masa, kita mempunyai banyak perkara untuk dilakukan dan dicapai.

“Sukar bagi saya untuk tidur sambil melihat begitu banyak kasih sayang daripada Beticos, ada orang menunggu di rumah saya pada pukul dua pagi.”

Antony sedar bahawa dia sering diejek oleh peminat kerana persembahannya dalam jersi United, namun segalanya berbeza ketika dia beraksi di hadapan penyokong Betis. Dia mendapat kasih sayang, yang membantunya kembali yakin dan beraksi cemerlang.

Dia menambah: “Bagi saya, kasih sayang adalah sangat penting dan ia bukan semua tentang wang.

“Di sini saya mempunyai banyak perasaan dan kasih sayang, ia sentiasa menjadi pilihan pertama saya dan itulah sebabnya saya menunggu sehingga hari terakhir untuk kembali ke Betis.

“Sekarang saya di sini dan gembira di bandar dan kelab yang saya cintai.”

Antony kemudian tersenyum bangga ketika melihat jersi Betis kembali. Menurutnya: “Ini kali pertama saya mengalami ini. Apabila saya memakai jersi, saya akan berjuang untuk setiap Béticos.’