Seorang atlet muntah sebanyak 10 kali selepas berenang di Sungai Seine dalam satu acara dalam temasya Sukan Olimpik 2024 yang berlangsung di Paris ketika ini.

Atlet triathlon Kanada, Tyler Mislawchuk baru sahaja melepasi garisan penamat selepas berenang sejauh satu batu di sungai yang mengalir melalui tengah-tengah kota Paris.

Baca Juga:

Selama lebih 100 tahun, berenang di Sungai Seine kebanyakannya telah diharamkan kerana orang ramai akan berisiko dijangkiti penyakit jika mereka tertelan air tercemar secara tidak sengaja. Sungai itu terkenal dengan tahap E.coli yang tinggi.

Sungai Seine

Tetapi dengan Perancis menjadi tuan rumah Sukan Olimpik ketiga mereka, dan yang pertama dalam 100 tahun, atlet yang mengambil bahagian dalam acara renang maraton dan triatlon telah dibenarkan untuk berenang di dalam air untuk temasya edisi kali ini.

Mislawchuk adalah salah seorang daripada atlet yang dilihat bergelut selepas menamatkan triatlon yang termasuk berenang sejauh 1.5 km, menunggang basikal 40km dan larian 10km.

Tetapi atlet yang menamatkan saingan di tempat kesembilan – adalah satu-satunya atlet yang dilihat muntah selepas selesai berenang.

Perkara ini tidak mengejutkan dengan kualiti air yang tidak baik dan suhu tinggi di ibu negara Perancis itu.

Selepas perlumbaan, Mislawchuk memberitahu media Kanada: “Saya tidak datang ke sini untuk menjadi 10 teratas tetapi saya memberikan segala yang saya ada ketika pertandingan.

“Saya beraksi dan kemudiannya muntah sebanyak 10 kali. Tapi saya tidak menyesal,” katanya.

Sungai Seine telah gagal dalam banyak ujian menjelang Sukan Olimpik kerana hujan menyebabkan air bercampur dan juga kumbahan yang dibuang ke dalam sungai.

Kerajaan Perancis telah menghabiskan kira-kira $1.5 bilion untuk menjadikan air sungai itu lebih selamat sebagai persediaan untuk Sukan Olimpik.

Berikutan usaha mereka, Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo berenang di Sungai Seine untuk membuktikan bahawa ia selamat untuk digunakan bagi acara sukan olimpik.