AirAsia Malaysia akan memperkenalkan semula surcaj bahan api mulai 8 Mac ini untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsa. Pengenalan semula surcaj bahan api bagi mengimbangi kenaikan harga bahan api pesawat yang telah melebihi USD120 (RM501) setong pada waktu ini.
Walaupun syarikat-syarikat penerbangan lain telah pun melaraskan tambang dan meningkatkan caj bahan api dan caj pentadbiran untuk mengatasi kenaikan kos operasi seawal tahun 2018, AirAsia kekal memansuhkan surcaj tersebut dengan menyerap semua kenaikan kos bahan api sejak tahun 2015 lagi.
“Syarikat penerbangan di seluruh dunia terjejas oleh kenaikan harga bahan api yang semakin terus meningkat disebabkan oleh keadaan di Eropah Timur serta faktor luaran lain. Ini semua telah menyebabkan kami terpaksa mengenakan semula surcaj bahan api, walaupun kami telah berusaha sedaya upaya untuk memansuhkannya selama ini.
“Kami berharap langkah ini hanyalah sementara. AirAsia akan terus memastikan tambang kami kekal rendah walaupun terdapat surcaj bahan api.
“Kami juga akan terus memantau keadaan semasa dan pada masa yang sama memanfaatkan inovasi teknologi dan digital sebagai cara untuk mengawal kos dan menjadikan perjalanan udara mampu milik untuk semua.” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.
Untuk makluman, surcaj bahan api ini hanya akan dikenakan untuk semua tempahan penerbangan baharu yang dibuat pada dan selepas 8 Mac 2022. Semua tempahan yang dibuat sebelum 8 Mac 2022 tidak akan terjejas.
Pada akhir Februari lalu AirAsia telah mengubah caj perkhidmatan kaunter daftar masuk sebanyak dua kali. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.
AirAsia Kemas Kini Caj Daftar Masuk Melalui Kaunter, Harga Kembali Semula Kepada Asal
Demi Keselamatan Pelanggan Terjamin, AirAsia Laksana Prosedur ‘Contactless’ Untuk Perkhidmatannya
Dari KLIA Ke Pusat Bandar Hanya 11 Minit, AirAsia Bakal Tawar Perkhidmatan ‘Teksi Udara’