AirAsia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri penerbangan global apabila dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Kos Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-17 berturut-turut pada Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2026.
Pengiktirafan berprestij ini membawa makna yang amat signifikan buat syarikat penerbangan berkenaan, bertepatan dengan ulang tahun ke-25 penubuhannya dalam menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses serta berpatutan bagi orang ramai.
Dikenali secara meluas sebagai ‘Anugerah Oscar’ bagi industri penerbangan, Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax merupakan antara pengiktirafan paling dihormati di peringkat antarabangsa. Keputusan anugerah berkenaan adalah berdasarkan Tinjauan Syarikat Penerbangan Dunia tahunan yang bebas dan mencerminkan undian serta pandangan penumpang dari seluruh dunia.
Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun, yang menerima anugerah tersebut bagi pihak syarikat dalam majlis berkenaan, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian berterusan itu.
“Kami memulakan AirAsia 25 tahun lalu dengan misi mudah iaitu untuk membolehkan lebih ramai orang terbang. Untuk melihat sejauh mana pencapaian kami hari ini dan masih kekal dipercayai oleh pengembara dari seluruh dunia merupakan sesuatu yang amat kami banggakan.
“Pengiktirafan Skytrax ini adalah cerminan kepercayaan yang telah diberikan oleh para pengembara kepada AirAsia, dan itu merupakan sesuatu yang tidak akan pernah kami ambil mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group, Bo Lingam, menyifatkan anugerah berkenaan sebagai bukti ketahanan dan komitmen warga kerja syarikat tersebut, terutamanya ketika industri penerbangan berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan geopolitik global.
“Pengiktirafan ini adalah undi kepercayaan daripada para tetamu kami, dan kami amat bersyukur atas sokongan berterusan mereka. Ia merupakan bukti kesungguhan, daya tahan dan komitmen tanpa kompromi setiap warga ‘Allstars’ yang terus memberikan perkhidmatan terbaik. Anugerah ini sejujurnya milik semua warga ‘Allstars’.
“Seiring dengan perluasan rangkaian AirAsia di seluruh rantau Asean dan antarabangsa, kami berharap dapat menghubungkan lebih ramai orang dan destinasi, sambil kekal komited untuk terus meraih kepercayaan tetamu dalam setiap penerbangan,” ujar beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted, turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan luar biasa yang dicapai oleh syarikat penerbangan berkenaan.
“Kejayaan mencipta rekod buat kali ke-17 ini membuktikan dedikasi AirAsia dalam menyediakan pilihan perjalanan yang berkualiti dan mampu milik untuk pelanggan mereka. Ini merupakan pasaran yang amat kompetitif dan pesat berkembang bagi syarikat penerbangan kos rendah, dan anugerah ini adalah pengesahan jelas terhadap kejayaan AirAsia,” katanya.
Sepanjang 25 tahun beroperasi, AirAsia telah berkembang daripada sebuah syarikat penerbangan kos rendah tunggal kepada rangkaian syarikat penerbangan kos rendah global yang menghubungkan jutaan penumpang di seluruh Asia dan antarabangsa.
Syarikat itu terus memperluas rangkaian serta meningkatkan pengalaman perjalanan pengembara, di samping kekal berpegang teguh kepada komitmen dasarnya untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan yang bernilai tinggi, bernilai tambah dan mampu milik.