Pada hari semalam beberapa platform media sosial heboh dengan berita AirAsia menaikkan caj daftar masuk melalui kaunter di lapangan terbang di seluruh Malaysia sebanyak RM100 untuk penerbangan domestik serta antarabangsa.
Hal ini mengundang kegusaran ramai yang rasa terbeban dengan jumlah caj meningkat sehingga lima kali ganda daripada harga asal yang dilaksanakan oleh syarikat penerbangan itu pada September 2020 lalu.
Terbaharu, hasil semakan The Vocket mendapati pihak AirAsia telah mengemas kini semula nilai caj tersebut kepada harga asal pada pukul 9.05 pagi tadi. Sama seperti harga yang diperkenalkan pada dua tahun lalu, caj untuk penerbangan domestik sebanyak RM20 dan RM30 untuk penerbangan antarabangsa.
Pada masa sama, AirAsia tidak mengenakan caj tersebut untuk beberapa kumpulan terpilih atau semasa situasi tertentu seperti pelanggan kurang upaya, melancong dengan bayi (bawah 24 bulan), penumpang terjejas oleh perubahan jadual dan pembatalan penerbangan, Sky Marshals yang sedang bertugas serta beberapa lagi kategori lain.
Caj ini diperkenalkan sebagai salah satu langkah berjaga-jaga untuk meningkatkan pengalaman perjalanan tanpa sentuhan rentetan pandemik COVID-19. Oleh itu, kemudahan daftar masuk sendiri ini menjadi sangat penting dalam meminimumkan sentuhan fizikal antara tetamu dan kakitangan AirAsia.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai caj daftar masuk melalui kaunter, bolehlah semak info lanjut di laman rasmi support.asia.com atau klik di sini.
AirAsia bakal menawarkan perkhidmatan penerbangan jauh lebih murah menggunakan eVTOL. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.
Dari KLIA Ke Pusat Bandar Hanya 11 Minit, AirAsia Bakal Tawar Perkhidmatan ‘Teksi Udara’
Demi Keselamatan Pelanggan Terjamin, AirAsia Laksana Prosedur ‘Contactless’ Untuk Perkhidmatannya