Syarikat penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd (AAX), merancang untuk menurunkan lagi harga tambang penerbangan susulan harga bahan api jet yang kini menunjukkan trend kembali ke paras normal.

Bagaimanapun, tempoh masa terperinci bagi pelaksanaan penurunan tersebut masih belum dimuktamadkan, petik The Edge Malaysia.

Penurunan harga bahan api global ini mula dikesan susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada minggu lalu, yang sekali gus membuka jalan kepada rundingan damai rasmi.

Tambang AirAsia X Sudah Turun 5 Peratus

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam, menyatakan keyakinan beliau bahawa trend penurunan harga bahan api ini akan berterusan.

Beliau menambah bahawa AAX sebenarnya telah pun menurunkan kadar tambang sebanyak 5% pada 15 Jun lepas dan sedia melaksanakan pengurangan selanjutnya apabila harga pasaran semakin stabil.

“Kami menyemak kadar tambang ini minggu demi minggu. Apabila harga bahan api turun, kami juga akan menyemak semula tambang kami,” ujar beliau dalam satu sesi taklimat pada Isnin.

Apabila ditanya mengenai risiko ketegangan semula konflik ekoran ancaman terbaharu daripada Presiden AS, Donald Trump ketika rundingan damai baru sahaja bermula, Lingam enggan mengulas lanjut.

Semasa kemuncak konflik Asia Barat sebelum ini, harga bahan api jet pernah melonjak sehingga mencecah AS$240 setong, sebelum menyusut kepada sekitar AS$111 hingga AS$112 setong ketika ini.

Sebagai perbandingan, harga bahan api berkenaan berada pada paras AS$85 hingga AS$90 setong sebelum tercetusnya krisis.

Akibat lonjakan drastik kos bahan api itu sebelum ini, AirAsia X terpaksa menaikkan harga tambang antara 30% hingga 40% dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini bagi mengimbangi kos operasi.