Pekerja sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Bandar Rinching di sini, cedera di muka selepas ditumbuk lelaki mabuk kerana menegurnya mengambil payung di dalam premis berkenaan malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, bapa mangsa, Shahrul Aminshah Aziz, 40, berkata anak lelakinya yang berusia 17 tahun itu berkerja sambilan di kedai serbaneka itu selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Baca Juga:
- Seorang Pemandu Grab Melayu Dituduh Rasis Kerana Enggan Ambil Penumpang India Dan Tuduh Dia Mabuk
- Dipercayai Mabuk Ketika Ganggu Wanita, Pemandu Kelisa Ditahan Polis
- Dua Anak Kecil Terpaksa ‘Ditidurkan’, Bapa Terkilan Kes Pemandu Mabuk Tidak Pernah Dihukum Setimpal
“Ketika kejadian dua lelaki yang mabuk masuk ke premis dan cuba mengambil payung.
“Anak saya menegurnya namun kemudian ditumbuk salah seorang lelaki terbabit. Apa yang menjengkelkan adalah tindakan lelaki terbabit yang mengambil selfie anak saya selepas ditumbuk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, anaknya kini menerima rawatan di Hospital Kajang akibat kecederaan di bahagian muka.
“Laporan polis sudah dilakukan di Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut, saya mohon mana-mana individu yang mengenali lelaki ini tampil memberikan maklumat kepada polis,” katanya.
Sementara itu, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan ianya dalam tindakan pihak polis untuk mengesan suspek.