Akademi TOT United Bawah 12 Tahun (B-12) mempamerkan aksi penuh bertenaga untuk muncul juara Kejohanan Futsal Antarabangsa KL Junior 5’s yang berlangsung di KL City Arena, Kampung Baru kelmarin.

Beraksi dalam saingan liga satu pusingan yang melibatkan enam pasukan, Akademi TOT United B-12 jelas cukup bersedia untuk menghadapi kejohanan ini dengan cukup baik.

Baca Juga:

Ia dibuktikan dengan rekod kemenangan bersih dicatatkan yang menyaksikan pemain mereka, Adam Mikhail meledakkan 10 gol dalam lima perlawanan dihadapinya.

Akademi TOT United B-12 memulakan saingan dengan meyakinkan apabila tidak berdepan masalah menewaskan Australia 5-0.

Perlawanan kedua menyaksikan kemenangan 4-0 diraih ke atas MBPJ FC dan TOT United Mix menjadi mangsa seterusnya dengan keputusan 3-1. Selepas itu, mereka menewaskan pasukan ‘adik’ mereka iaitu TOT United Bawah 11 Tahun dengan keputusan 6-2.

Meskipun sudah mencapai empat kemenangan, kejuaraan masih belum sah menjadi milik TOT United B-12 dan mereka perlu menewaskan N10 FC dari Kelantan yang mana turut memiliki peluang juara sekiranya mencapai kemenangan.

Boleh diibaratkan sebagai perlawanan akhir, pertemuan kedua-dua pasukan nyata cukup mendebarkan sebahagian besar ibu bapa yang hadir ke kejohanan ini.

Terikat 1-1 pada separuh masa pertama dimana N10 FC lebih mencipta banyak peluang, gol lewat permainan dicipta pemain TOT United B-12 memastikan kejuaraan sulung menjadi milik mereka.

Walaupun hanya pada usia 10 hingga 12 tahun, barisan pemain kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang cukup berkualiti.

Kemenangan TOT United B-12 tersebut diserikan lagi dengan kejayaan pemain mereka, Faris Fahad dinobatkan selaku ‘Pemain Paling Bernilai’ kejohanan.

Kedudukan ketiga menjadi milik Australia manakala TOT United Mix menghuni tangga keempat dan diikuti TOT United B-11 dan MBPJ FC.

Para pemain cilik ini juga turut bertuah kerana pengendali skuad futsal negara, Rakphol Sainetngam meluangkan masa menyaksikan perlawanan serta memberikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir ke kejohanan tersebut ialah Presiden TOT United, Nizam Samsudin bersama-sama Faizal Ismail (Naib Presiden TOT United) dan Pengarah Akademi Futsal/Bolasepak TOT United, Gozal Ghazali.

Sementara itu, ketika bercakap kepada wakil The Vocket, Khairul Izuwan yang merupakan Pengarah Teknikal Kejohanan melihat banyak bakat berkualiti dapat disaksikan menerusi pertandingan ini.

Beliau turut berpendapat ia menjadi permulaan buat Akademi TOT United untuk terus berkembang dari semasa ke semasa.