Pada hari ini insurans menjadi salah satu keperluan kerana ia dapat meringankan beban kos rawatan yang semakin meningkat saban hari.

Bagaimanapun berurusan dengan ejen bertauliah dan boleh dipercayai merupakan perkara paling utama, di mana ia dapat membantu kita menguruskan insurans apabila tiba masa memerlukannya.

Tular satu hantaran Facebook di mana seorang wanita diperdaya oleh ejen insurans sendiri sejak 2012. Beliau hanya ketahui telah ditipu pada Februari 2024 lalu.

Menurut Nurfarahin, beliau mula menyedari apabila pihak hospital menolak penggunaan insurans apabila mahu mendapatkan rawatan.

“Beli insurans dari 2012 dan telah membayar sehingga Disember 2024 tanpa gagal pada ejen.

“Tetapi malang tak berbau, pada Februari 2024 terkena serangan jantung. Hospital menolak untuk penggunaan insurans dan terpaksa guna duit sendiri,” terang Nurfarahin.

Menurutnya, beliau telah berhabis lebih RM93,800 untuk melalui prosedur di beberapa buah hospital swasta.

Nurfarahin menyatakan bukan sahaja polisi insuransnya ditipukan, bahkan polisi untuk suami dan anak kecil turut diseleweng oleh ejen wanita terbabit.

Beliau langsung tidak rasa ditipu pada awalnya kerana ejen terbabit mempunyai ‘modus operandi’ yang sangat kemas dan boleh dipercayai.

“Sejak lahir beli insurans utk anak, tahu-tahu lepas setahun semua polisi lapsed tapi ejen masih galak minta bayaran insurans tanpa segan silu.

“Tak sempat bank in, sanggup datang berkunjung, muka tebal tanpa rasa bersalah.

“Pujuk pula beli hibah. Minta datang pejabat tengok quotation, offer sign dalam pejabat rasmi. Mana tidak rasa tertipu. Website/quotation/paperwork bukan cap ayam dilebarkan untuk menipu. Bayaran premium ambil tapi sedihnya hibah langsung tak wujud atas nama pembeli,” luah Nurfarahin penuh kesal.

Laporan polis telah dibuat dan wanita terbabit telah diminta untuk melunaskan ganti rugi apa yg telah diambil dengan sekian jumlah tetapi masih tidak memadai.

Difahamkan duit simpanan/barang kemas/ASB habis keluar untuk kelangsungan serta pembayaran perubatan yang tidak setimpal dengan bayaran diterima.

Lebih menjengkelkan, wanita terbabit memberitahu Nurfarahin bahawa dia menghalalkan segalanya dunia akhirat. Dia meminta mangsa menerima semua ini adalah qada & qadar tuhan dan semua ini sudah tertulis.

“Kenyataan itu membuatkan saya berfikir siapa mangsa dan siapa yang menganiaya? Begitu hina ayat-ayat ini keluar daripada si penipu, si penunggang agama.

“Yang penipu tetap penipu, dan tidak mungkin cuma satu saja mangsanya. Saya berharap ramai lagi yang sedar dan bangkit tuntut keadilan.

“Jika di dunia rasa bebas. Ingat akhirat bakal menanti,” tegas beliau.