Menteri Komunikasi dan Digital (Menkomdigi), Meutya Hafid, mendedahkan sehingga 10 April 2026, platform media sosial TikTok dilaporkan telah menyahaktifkan sekitar 780,000 akaun pengguna di bawah usia 16 tahun di Indonesia.
Langkah tegas ini merupakan implementasi daripada Peraturan Pemerintah Nombor 17 Tahun 2025 mengenai Tata Kelola Penyelenggaraan Sistem Elektronik dalam Perlindungan Kanak-kanak (PP TUNAS), lapor Jurnal Borneo.
“Kami mencatatkan TikTok menjadi platform pertama yang melaporkan penyahaktifan 780 ribu akaun kanak-kanak di bawah 16 tahun setakat 10 April 2026 bagi wilayah Indonesia,” ujar Meutya dalam sidang media di Pejabat Kementerian Komdigi, Jakarta Pusat, Selasa (14/4).
Meutya menghargai komitmen TikTok yang telah berkerjasama dalam gerakan perlindungan kanak-kanak di Indonesia.
Selain penyahaktifan akaun, TikTok juga telah menyerahkan surat komitmen pematuhan rasmi kepada kerajaan dan mengemas kini dasar had umur minimum kepada 16 tahun pada pusat bantuan (Help Center) mereka.
“Ini adalah langkah awal yang sangat positif dan menjadi kemenangan bagi orang awam, khususnya ibu bapa dan kanak-kanak di Indonesia.
“Kami berharap platform lain segera melaporkan jumlah akaun yang telah dikendalikan atau diturunkan (takedown),” tambahnya.
Kerajaan menekankan bahawa pematuhan terhadap peraturan perlindungan kanak-kanak adalah kewajiban mutlak bagi setiap Penyelenggara Sistem Elektronik (PSE).
Kementerian Komdigi akan terus memantau secara berkala dan tidak teragak-agak untuk mengambil langkah tegas terhadap platform yang mengabaikan ketentuan tersebut demi keselamatan ruang digital nasional.