Pemain sayap Terengganu, Akhyar Rashid berasa terharu dengan sambutan meriah yang diberikan oleh peminat pasukan itu setiap kali menjalani sesi latihan.

Terengganu antara pasukan terawal yang mengumpulkan pemain sekaligus menjalani sesi latihan tatkala beberapa pasukan lain masih memberikan cuti kepada pemain mereka.

Baca Juga:

Akhyar yang menyertai kelab Pantai Timur itu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam masa yang sama teruja dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.

Akhyar Rashid
Sumber Gambar: TFC

“Saya amat terharu, terlalu ramai yang datang berjumpa sehingga saya tidak sempat untuk ke bilik persalinan dan terpaksa memasang pengawal peribadi,” katanya menurut laporan Astro Arena.

Selain Akhyar Rashid, Terengganu juga mendapatkan seorang lagi pemain sayap iaitu Safawi Rasid juga secara pinjaman dari JDT bagi menghadapi saingan musim ini.

Kehadiran dua pemain ini di Terengganu mendapat sambutan baik dari peminat bola sepak tanah air dimana mereka berharap Akhyar dan Safawi dapat beraksi secara konsisten bersama skuad Penyu.

Ketika di JDT, kedua-dua pemain jarang diturunkan dalam kesebelasan utama dimana pesaing utama mereka iaitu Fernando Forestieri dan Arif Aiman kerap diturunkan di posisi sayap kiri dan kanan.

Kelab bimbingan Tomislav Steinbrückner itu turut membawa masuk beberapa pemain lain seperti Akram Mahinan serta dua pemain import iaitu Ismahil Akinade dan Matthew Steenvoorden.

Dengan barisan pemain sedia ada, Terengganu dianggap sebagai pencabar utama kepada Selangor bagi menduduki tangga kedua dalam saingan Liga Super musim ini.