Nur, seorang pelarian Rohingya berusia 12 tahun di Malaysia, terpaksa menghentikan persekolahannya sejak Jun lalu. Keputusan berat itu dibuat selepas dia digertak oleh dua lelaki ketika dalam perjalanan ke kelas.
“Kenapa kau nak pergi sekolah? Kau nak rampas negara kami ke?” – jerit lelaki berkenaan kepada Nur, sebelum mengancam untuk memukulnya.
Sejak kejadian itu, rasa takut mula menguasai diri. Nur dan keluarganya memilih untuk berdiam diri kerana bimbangkan keselamatan mereka.
Gelombang ‘Hate Speech’ Mula Melimpah Ke Alam Nyata
Apa yang berlaku kepada Nur bukanlah kes pencilan. Tekanan dan gelombang kebencian (hate speech) serta maklumat palsu terhadap komuniti Rohingya di media sosial kini dilaporkan semakin melimpah ke alam nyata.
Pemerhatian mendapati sekurang-kurangnya sembilan buah sekolah pelarian telah ditutup di seluruh negara—sama ada atas faktor keselamatan atau tindakan penguatkuasaan ekoran aduan netizen di alam maya.
Aktivis komuniti Rohingya, Sharifah Shakirah, menegaskan bahawa tindakan mengganggu anak-anak kecil ini memberi kesan psikologi yang amat mendalam.
“Kanak-kanak jadi sangat takut sampai tak berani nak keluar rumah. Kamu bukan hanya mengganggu mereka untuk sehari dua, tetapi sedang mencipta trauma berpanjangan,” jelas Sharifah.
Situasi terkini disifatkan oleh Sharifah sebagai 100 kali lebih buruk berbanding era pandemik COVID-19.
Di platform seperti Meta dan TikTok, pelbagai kandungan tular dikesan daripada petisyen dalam talian, ajakan merakam lokasi komuniti pelarian, sehinggalah tajuk carian seperti “Lempang Rohingya”.
Sekolah Terpaksa Beroperasi Secara ‘Senyap-Senyap’
Laporan Reuters mendedahkan susulan insiden yang menimpa Nur, gurunya mengambil keputusan menggantung sesi persekolahan serta-merta. Dua lagi sekolah berdekatan turut mengambil langkah sama atas faktor keselamatan.
Bagi sekolah pelarian yang masih bertahan, mereka terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengarahkan pelajar tidak memakai seragam sekolah serta membatalkan sebarang aktiviti luar kelas dan mengekalkan identiti lokasi sekolah secara berahsia.
Seorang pengasas sekolah pelarian menyatakan bahawa penubuhan kelas tersebut bukanlah untuk menggalakkan mereka menetap secara kekal atau mengambil hak rakyat tempatan, sebaliknya bagi memberi pendidikan asas dan mengajar mereka menghormati undang-undang tempatan.
Dilema Penguatkuasaan & Pendirian Kerajaan
Malaysia tidak mengiktiraf pelarian Rohingya secara rasmi dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang haram, walaupun anggaran 120,000 orang berdaftar dengan UNHCR.
Sentimen awam yang dulunya bersimpati kini semakin merosot ekoran pelbagai isu sosial dan persepsi masyarakat.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Lukanisman Awang Sauni, menyatakan di parlimen bahawa rakyat Malaysia mula “terbeban dengan isu yang timbul daripada pengurusan komuniti Rohingya”.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengusir pelarian dan bertindak dengan “mewujudkan keseimbangan antara keselamatan nasional dan nilai kemanusiaan.”
Namun, badan hak asasi seperti Article 19 dan pihak UNHCR meluahkan kebimbangan bahawa tindakan penutupan sekolah tanpa pendekatan berasaskan hak asasi hanya memburukkan keadaan serta meretakkan hubungan komuniti.
Kesan Jangka Panjang: Risiko Gejala Sosial Lebih Buruk
Penutupan sekolah tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya boleh mencetuskan krisis sosial yang lebih parah pada masa hadapan. Menurut Sharifah, tanpa akses pendidikan asas, risiko masalah sosial seperti perkahwinan kanak-kanak dan kegiatan mengemis akan meningkat.
“Ramai orang merungut melihat anak-anak Rohingya mengemis di jalanan. Kalau sekolah terus ditutup, jumlah mereka di jalanan hanya akan jadi lebih ramai,” tambah Sharifah lagi.
Bagi kanak-kanak seperti Nur, penutupan sekolah ini bermaksud satu perkara: masa depan mereka untuk menjadi insan berguna semakin samar.
“Kalau saya tak pergi sekolah, saya tak dapat belajar apa-apa… dan saya takkan boleh jadi sesiapa,” luah Nur sambil menitiskan air mata.