Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa perlawanan pusingan kedua saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Oman pada Selasa, 26 Mac 2024 secara rasminya kekal berlangsung di gelanggang keramat iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Dato’ Hans Isaac bersama-sama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon serta barisan kejurulatihannya telah melakukan lawatan bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium berkenaan baru-baru ini, dua minggu selepas konsert Ed Sheeran diadakam di stadium tersebut.

Baca Juga:

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub yang juga Ahli Lembaga Pengarah PSM, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi serta pihak konsultan teknikal serta kontraktor padang tersebut.

Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang menjelang perlawanan pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk aksi menentang Oman itu nanti.

Dengan pengesahan venue tersebut, tiket bagi perlawanan Malaysia menentang Oman itu akan mula dijual secara dalam talian di Ticket Hotline pada Sabtu, 9 Mac 2024 dengan harga tiket bagi semua kategori dikekalkan iaitu sama seperti perlawanan pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada November lalu.

Bagi kategori tiket Terbuka, harga ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun; RM60 bagi tiket Grandstand dan RM80 bagi tiket Premium.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, hari ini bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 21 Mac, sebelum terbang pulang ke tanah air bagi perlawanan keempat di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.

Pasukan negara berjaya mengutip kemenangan pada dua perlawanan awal ketika menentang Kyrgyzstan dengan kemenangan 4-3 dan Chinese Taipei dengan kemenangan 1-0.