Bila anak sedang bermain set memasak, seolah-olah dialah chef. Bila diberi telefon, beria-ia dia bercakap di telefon seolah-olah sedang bercakap betul-betul. Begitu juga bila memegang lampu suluh, seolah-olah memegang mikrofon lalu menyanyi.
Adakah perbuatan begini normal?
Ya, bahkan sangat digalakkan anak melakukan aktiviti begini. Ia dikenali sebagai pretend and imaginative play, yang mana anak berlakon dan berimaginasi dengan apa yang ada di sekelilingnya. Anak akan meniru dan melakonkan sesuatu watak dan bercerita.
Kebaikan Aktiviti Ini
1. Kemahiran menyelesaikan masalah
Melalui aktiviti begini, anak boleh belajar kemahiran menyelesaikan masalah dengan berfikir secara kreatif. Contohnya ketika berlakon sebagai doktor dan pesakit, bagaimana mahu periksa tubuh badan, apakah ubat yang perlu.
Jadi anak berupaya menjadi seorang penyelesai masalah yang baik di masa hadapan. Melalui aktiviti begini juga, anak dapat belajar menguasai kemahiran membuat keputusan.
2. Keupayaan sosial dan bahasa
Dipercayai kemahiran bersosial dan bahasa anak boleh meningkat. Apabila anak bercerita dan berlakon, dia sebenarnya menggunakan bahasanya sendiri.
Jika ada perkara yang dia kurang faham atau tiba-tiba hilang perkataan yang sesuai semasa bercerita, pada masa inilah ibu bapa boleh kenalkan anak dengan kosa kata yang baru dan lebih meluas.
3. Perkembangan emosi
Aktiviti ini menyokong perkembangan emosi yang baik. Turut bantu meningkatkan tahap konsentrasi dan perhatian anak pada sesuatu perkara. Selain itu, memberi anak peluang untuk bersosial dan mengekspresikan emosi dan melatih kemahiran motor mereka. Anak juga dapat menyalurkan emosi melalui permainan blok dan boneka, selain menghadapi stres dengan positif.
4. Kreativiti
Sudah tentu bila berlakon dan berpura-pura menjadi sesuatu watak, sisi kreatif anak akan muncul. Anak akan mencipta watak sendiri atau berinovasi dengan watak dan prop yang ada di sekelilingnya. Anak akan belajar kemahiran berfikir secara simbolik dan mencipta sesuatu yang baru. Imaginasi tercipta seawal umur, galakkan sel-sel otaknya berhubung dan berkembang sedari kecil.
5. Perkembangan kosa kata
Bila bercerita atau melakonkan watak tertentu, banyak perkataan yang anak perlu belajar dan kuasai untuk melengkapkan cerita. Jadi ibu bapa boleh bantu anak kenalkan perkataan yang baru. Melalui aktiviti ini, kosa kata anak akan meningkat secara tak langsung.
6 Contoh Aktiviti Pretend Play Yang Boleh Dilakukan
1. Berikan lampu suluh pada anak. Kemudian masuk ke dalam bilik yang gelap. Anak boleh belajar tentang kontras antara keadaan gelap dengan terang. Boleh juga cipta cerita atau bermain bayang-bayang.
2. Bawa anak berjalan-jalan di sekeliling taman atau padang. Cuba tiru bunyi burung, hon kenderaan atau tiupan wisel.
3. Dedahkan anak pada pelbagai jenis bunyi dan muzik. Biarkan anak menari dengan bebas mengikut muzik yang didengari.
4. Kumpulkan beberapa jenis bahan dengan pelbagai tekstur contohnya span, kain sutera, kain baldu, kertas pasir dan plastik. Biarkan anak pegang, main dan rasa tekstur setiap bahan. Aktiviti ini juga meningkatkan kemahiran motor anak.
5. Bermain cat air dengan mengisi baldi dengan air dan biarkan anak gunakan air tadi dengan berus cat. Anak mesti seronok ‘menconteng’ dinding dan lantai di laman luar rumah.
6. Sediakan kotak pasir dan beberapa mainan anak seperti haiwan dan kenderaan. Anak boleh bermain sembunyi dan sorok mainan di dalam pasir.
Kepentingan Permainan Lakonan Dan Imaginatif
1. Dapat meningkatkan kepintaran anak.
2. Anak belajar menerima dan menangani risiko.
3. Belajar mengawal emosi diri sendiri.
4. Mencabar keupayaan diri dengan bantuan pelbagai jenis alat permainan.
Peralatan dan aktiviti yang dicadangkan di atas perlu dibuat sendiri. Jika anda tiada masa untuk menyediakannya anda boleh dapatkan set pretend play ini terus di Lazada. Terdapat pelbagai aneka pilihan yang disediakan dengan harga diskaun sehingga 60%.
Semoga dengan dorongan sebegini membuatkan anak-anak menjadi lebih kreatif untuk berimaginasi dan berani mencuba melakukan sesuatu meskipun ia kelihatan sukar.