Dua kelab gergasi Eropah, Manchester City dan Inter Milan menerima tamparan hebat apabila perjuangan dalam Dunia Kelab FIFA 2025 terhenti di pusingan 16.

Manchester City dikejutkan wakil Asia, Al Hilal dengan kekalahan 3-4 dalam aksi yang cukup menarik untuk disaksikan manakala Inter Milan pula menjadi mangsa kekentalan Fluminense 0-2.

Meskipun mendominasi sebahagian besar permainan, Inter Milan yang merupakan naib juara UEFA Champions League 2025/25 dikejutkan seawal minit ketiga menerusi jaringan German Cano.

Masih gagal untuk menyudahkan peluang dimiliki, sisa perjuangan wakil Itali itu dipadamkan dengan jaringan kedua Hercules pada masa kecederaan.

Manchester City Dimalukan

Aksi di Camping World Stadium Orlando pula menarik untuk disaksikan apabila tujuh gol berjaya dihasilkan dengan Al-Hilal dan Manchester City saling berbalas-balas mencipta jaringan.

Bernardo Silta terlebih dahulu meletakkan The Cityzens dihadapan pada minit kesembilan hasil kelam-kabut dalam kawasan sendiri ketika pemain gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya untuk pemain Portugal tersebut mudah menolak masuk bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Bagaikan mendapat tonik berguna pada rehat babak pertama, Al-Hilal yang kini dibimbing Simone Inzaghi menyamakan kedudukan pada minit ke-46, juga dalam satu keadaan kelam-kabut dalam kawasan penalti lawan menerusi Marcos Leonardo.

Enam minit kemudian, Al-Hilal berjaya memperolehi jaringan kedua hasil serangan balas pantas yang disudahkan dengan tenang Malcom setelah beliau melepasi kawalan pertahanan Manchester City.

Manchester City
Kredit Foto: Chandan Khanna / AFP

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas Erling Haaland kembali menyamakan kedudukan ketika situasi sepakan penjuru untuk kedudukan 2-2.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit.

Kalidou Koulibaly kembali meletakkan Al-Hilal dihadapan dengan jaringan pada minit ke-94 tetapi Phil Foden menyamakan kedudukan ketika aksi memasuki minit ke-104.

Leonardo muncul wira pasukannya apabila beliau berada di tempat yang tepat untuk menolak masuk bola ketika tandukan awal Sergej Milinkovic-Savic ditepis Ederson Moraes sekali gus membawa Al-Hilal ke suku akhir.

Dengan kemenangan dilakarkan dua pasukan bukan pilihan ini, mereka akan bertemu sesama sendiri pada aksi suku akhir nanti.