Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memaklumkan bahawa idea Kerajaan Perpaduan telah dicetuskan oleh Baginda sejak perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Al-Sultan Abdullah bertitah, Baginda melihat majoriti yang dimiliki Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tipis sekaligus memungkinkan krisis pentadbiran negara berulang.
Baca Juga:
- Shahidan Akui Sedang ‘Cari Jalan’ Untuk Tumbangkan Kerajaan Perpaduan
- Pasca PRU15: UMNO Sudi Ambil Bahagian Dalam Kerajaan Perpaduan, Tetapi Dengan Syarat
Selain itu, menjadi hasrat Baginda untuk melihat suasana harmoni diwujudkan di negara ini yang seharusnya bermula di Parlimen.
“Saya nak satu keadaan harmoni dalam negara kita ini dan ia seharusnya bermula di Parlimen.
“Kita tidak harus bergaduh ataupun berfikiran lain kerana kita nak majukan negara kita, nak tingkatkan nama baik negara kita,” titah Baginda.
Namun, pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada parti yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Oleh yang demikian, Baginda menawarkan penyelesaian sama, iaitu menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Saya mulakan dengan (memaklumkan kepada parti) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas) tapi saya tak nak bangkit lagi kerana dia tolak (pembentukan Kerajaan Perpaduan) sebulat-bulatnya.
“Then, what choice do I have? Jadi baki siapa yang boleh wujudkan (kerajaan).
“Saya juga maklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu, menawarkan kepada parti Muhyiddin dan Pas juga.
“Tapi apakan daya, itu sekadar apa yang saya boleh buat. Selain itu terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin politik,” titah Al-Sultan Abdullah.
Baginda berkongsi pengalaman pemerintahannya itu dalam wawancara bersama beberapa media tempatan dan antarabangsa di Istana Negara, baru-baru ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, niat Baginda dalam mewujudkan Kerajaan Perpaduan adalah untuk menyatukan semua parti supaya Malaysia mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil, sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya.
“Namun, saya berharap, perkara ini (Kerajaan Perpaduan) masih dapat diusahakan. Kita tidak harus berputus asa.
“Soal berkenaan siapa Perdana Menteri, itu terpulang kepada pucuk pimpinan politik kerana bukan Agong yang memilih Perdana Menteri.
“Wakil rakyat yang akan cadangkan nama, bukan Agong yang cadangkan nama siapa Perdana Menteri kerana Agong tidak boleh lantik Perdana Menteri sewenang-wenangnya.
“Kalau macam itu, senang lah, tak perlu ada Parlimen,” titah Baginda disusuli ketawa kecil.
Titah Baginda secara tidak langsung menjawab teka-teki sebelum ini mengenai pemimpin yang menolak pembentukan Kerajaan Perpaduan seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin yang lain berjaya membentuk kerjasama sekaligus membentuk majoriti dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, titah Yang di-Pertuan Agong ini menjelaskan Agong tidak melantik sesiapa yang Baginda ingin sebaliknya adalah keputusan pucuk pimpinan politik.