Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain apabila tewas 1-3 kepada jaguh Korea Selatan, Gwangju FC dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) semalam.

Skuad Harimau Selatan itu ketinggalan dua gol awal menerusi jaringan Jasir Anani dalam tempoh enam minit perlawanan sekaligus menjejaskan semangat pemain.

Baca Juga:

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan pemainnya walaupun tidak berjaya bangkit menyamakan kedudukan selepas Feroz Baharudin menjaringkan gol pertama.

“Kami cuba bangkit dengan jaringan Feroz (Baharudin) dan menguasai permainan tapi gol sendiri Park (Jun-heong) terus menutup peluang untuk mencari sekurang-kurang keputusan seri. Namun saya enggan salahkan mana-mana pemain sebaliknya nasib tidak menyebelahi JDT.

“Ia perlawanan yang sukar tetapi saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya. Pasukan lawan berjaya mendapatkan gol awal tetapi kami tidak hilang fokus dan mengekalkan penguasaan bola.

“Apa yang boleh saya katakan keputusan di babak pertama selepas ketinggalan 2-1 tidak menggambarkan keseluruhan permainan JDT.

“Di babak kedua, kami menggerakkan bola dari kiri ke kanan namun sukar menembusi benteng lawan. Cuma saya gembira pemain JDT kerap beri tekanan terhadap pasukan lawan,” katanya dipetik dalam Berita Harian. 

Ia adalah kekalahan pertama JDT pada musim ini dan anak buah Hector Bidoglio perlu bangkit dalam perlawanan akan datang. Mereka bakal bertemu satu lagi pasukan dari Korea, Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 November depan.

Gwangju FC kini mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Zon Timur dengan sembilan mata, sementara JDT kekal dengan empat mata.