Niat nak buat duit lebih dengan melabur emas akhirnya memakan diri, malah lebih perit apabila individu yang memperkenalkan skim tersebut adalah rakan sejawat sendiri.

Itulah realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh 15 individu, majoritinya penjawat awam dan golongan pendidik, sebelum Mahkamah Tinggi hari ini memihak kepada mereka dan memerintahkan seorang guru membayar ganti rugi berjumlah RM1.5 juta.

Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim Dr Mohammad Johan Lee selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan kesemua plaintif yang mengalami kerugian besar akibat terpedaya dengan skim penjualan emas berkenaan.

Terpedaya dengan janji manis rakan sendiri

Menurut peguam yang mewakili kesemua mangsa, Mahmud Jumaat, kes ini bermula apabila anak guamnya tertarik dengan tawaran lumayan yang dipromosikan oleh Orang Kena Saman (OKS) lapor Harian Metro.

Lebih mengejutkan, individu yang bertindak sebagai ejen skim tersebut merupakan seorang guru sekolah rendah dan dikenali rapat oleh kebanyakan mangsa.

Taktik yang digunakan cukup licik namun ringkas. Mangsa ditawarkan peluang membeli emas pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

Disebabkan faktor kepercayaan terhadap rakan serta tawaran harga yang sukar ditolak, ramai yang sanggup melaburkan wang simpanan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap seorang.

“Apa yang menarik dalam kes ini adalah individu yang disaman merupakan seorang guru sekolah rendah. Dalam pembelaannya, guru berkenaan mendakwa beliau hanyalah seorang ejen atau orang tengah.

“Beliau memaklumkan hanya mempromosikan jual beli emas bagi pihak penganjur skim, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39,” jelas Mahmud ketika mengulas mengenai prosiding tersebut.

Alasan ‘sekadar orang tengah’ ditolak mahkamah

Sepanjang perbicaraan, guru terbabit cuba melepaskan diri daripada liabiliti dengan menegaskan bahawa peranannya hanyalah menyampaikan maklumat serta tawaran jual beli emas yang diberikan oleh penganjur utama kepada para pembeli.

Namun, hujah tersebut gagal meyakinkan mahkamah. Bukti transaksi kewangan mendedahkan bahawa kesemua wang pembelian emas daripada mangsa sebenarnya dimasukkan secara terus ke dalam akaun peribadi serta akaun perniagaan milik guru berkenaan, bukannya terus kepada penganjur.

“Mahkamah menolak pembelaan itu selepas mendapati wujud hubungan kontraktual antara guru dan plaintif apabila pembayaran wang pembelian emas dibuat secara langsung ke dalam akaun peribadi dan akaun perniagaannya.

“Mahkamah turut mendapati guru berkenaan bertanggungjawab terhadap kegagalan menyempurnakan obligasi kontraktualnya dan memulangkan wang pembelian yang sudah diterima daripada plaintif,” kata Mahmud lagi.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan guru terbabit membayar semula RM1.5 juta kepada 15 plaintif berdasarkan rekod jumlah wang pembelian yang berjaya dibuktikan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Dalang utama sudah didakwa dan kerugian mencecah RM110 juta

Untuk rekod, penganjur utama skim berkenaan, seorang suri rumah bernama Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39, telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada April lalu atas pertuduhan menipu dalam urusan penjualan emas tidak wujud membabitkan kerugian RM173,500 pada tahun 2024.

Sebelum itu, kes ini pernah menggemparkan negara apabila media melaporkan penahanan seorang wanita yang dikehendaki polis sebaik sahaja dia tiba dari Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 Oktober 2024.

Siasatan mendapati wanita terbabit dipercayai telah memperdaya lebih 100 mangsa dengan kerugian keseluruhan melebihi RM110 juta melalui modus operandi menawarkan emas 916 pada harga tidak masuk akal.

Selain golongan guru di beberapa buah negeri, sebahagian besar mangsa yang terjerat turut terdiri daripada kakitangan yang bertugas di sebuah unit di hospital awam sekitar Lembah Klang.

Pengajaran besar buat masyarakat

Sama seperti sindiket skim kutu yang pernah memakan ramai korban sebelum ini, tawaran harga murah sering menjadi umpan utama untuk mengaburi mata pelabur.

Dek kerana terlalu ghairah mengejar ‘tawaran hebat’ tersebut, ada dalam kalangan mangsa yang dilaporkan sanggup berhutang dengan saudara-mara, rakan taulan, malah nekad meminjam daripada peminjam wang tanpa lesen.

Keputusan mahkamah hari ini menjadi satu peringatan keras kepada orang ramai agar tidak mudah gelap mata dengan janji pulangan lumayan, walaupun ia datang daripada individu yang paling dipercayai.

Bagi mereka yang bertindak sebagai ejen pula, tindakan menerima wang pelaburan ke dalam akaun sendiri boleh menjerat diri untuk menanggung liabiliti penuh apabila skim tersebut menemui jalan buntu.