Ketua jurulatih TRW Kelantan, Alfredo Vera berkongsi realiti sedih apabila pasukannya turun menentang Sabah dalam saingan Liga Super 2023 baru-baru ini di Stadium UiTM.

Dalam satu wawancara bersama Astro Arena, Vera menyatakan pasukannya berdepan masalah kekurangan pemain dan terpaksa bergantung kepada pemain muda untuk membawa cabaran pasukan.

Baca Juga:

“Sukar untuk saya cakap apa yang kita lakukan kerana kami kekurangan pemain. Hari ini (semalam) kita kumpulkan seberapa banyak pemain dari universiti.

“Jujur saya katakan, kita seperti pasukan kawan-kawan. Kumpulan siapa yang mahu bermain. Ada pemain yang pernah sertai sesi latihan, ada pemain yang baru sertai pasukan hari ini,” katanya.

Kenyataan Alfredo Vera ini menggambarkan Kelantan seperti kebanyakan pasukan liga amatur atau liga sosial di sekitar Lembah Klang dimana pasukan mengumpulkan pemain kemudiannya setiap pemain perlu membayar wang padang dan juga pengadil.

Pada aksi menentang Sabah, Kelantan sekali lagi tewas dengan keputusan besar dimana skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 7-0.

Tujuh pemain menjaringkan gol bagi Sabah dimulakan dengan Jafri Firdaus Chew (25’), Farhan Roslan (29’), Rizal Ghazali (39’), Irfan Fazail (57’), Telmo Castanheira (68’) dan Ramon Machado (70’).

Keputusan 7-0 ini turut menyaksikan Kelantan mencipta rekod dimana mereka menjadi pasukan yang dibolosi 100 gol dalam sejarah Liga Super Malaysia sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 2004.

Kekalahan terbesar TRW Kelantan musim ini ialah ketika tewas kepada Selangor 11-2 dalam saingan Liga Super yang berlangsung pada 25 Ogos lepas.

Rekod pasukan paling banyak dibolosi dalam Liga Super sebelum ini dipegang oleh pasukan PDRM pada tahun 2009 iaitu sebanyak 75 bolos dan ketika itu juga saingan Liga Super membabitkan 14 pasukan.