Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker tanpa berselindung mengakui kekalahan kepada Nottingham Forest di laman sendiri malam tadi adalah perkara yang memalukan buat pasukan tersebut.

Menguasai permainan serta lebih mencipta peluang bagaimanapun tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan buat Liverpool sepanjang perlawanan.

Baca Juga:

Malah, sebaliknya Callum Hudson-Odoi melakukan percubaan daripada jarak jauh yang gagal diselamatkan oleh Alisson sekali gus menghadiahkan kemenangan berharga buat skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu.

Keputusan mengejut di Anfield itu sekali gus menghadiahkan kekalahan sulung buat Liverpool yang sebelum ini cemerlang menundukkan Ipswich Town, Brentford dan Manchester United.

Sehubungan dengan itu, penjaga gol kelahiran Brazil tersebut turut mengkritik corak permainan Nottingham Forest yang disifatkannya sebagai amat mengganggu Liverpool.

“Memang memalukan, kehilangan mata di laman sendiri memang tidak bagus sama sekali tetapi lawan pada hari ini hanya mahu bertahan dan bermain ‘long ball’.”

“Kami memberikan ruang yang terlalu mudah apabila mereka menjaringkan gol, ia lemah dari aspek pertahanan daripada kami.”

“Kami tidak dapat mencipta banyak peluang, kami mempunyai kekurangan kualiti pada hari ini. Kami memerlukan lebih banyak tenaga.”

Semua peluang yang kami miliki tidak berapa jelas dan mereka pula bertahan dengan cukup hebat,” ujar Alisson Becker menurut sumber laporan Goal.

Dengan kekalahan dialami, Liverpool terlepas peluang untuk terus menghimpit Manchester City yang mencatatkan kemenangan keempat susulan kejayaan menundukkan Brentford 2-1 hasil dua jaringan peledak berbisa, Erling Haaland.

 

Sumber