Formula 1 (F1) bakal kembali ke Litar Antarabangsa Sepang buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun dengan litar berkenaan bakal mengambil alih tugas menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada hujung minggu ini.

Litar berkenaan menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia sebanyak 19 kali antara 1999 hingga perlumbaan terakhir pada 2017.

Pada ketika itu, Sepang merupakan antara litar kekal generasi baharu yang pertama, sebelum diikuti beberapa litar seperti Bahrain, Shanghai, Istanbul dan Abu Dhabi. Litar tersebut turut menetapkan penanda aras baharu dari segi kemudahan yang disediakan.

Litar Sepang sentiasa menghasilkan perlumbaan yang menarik, dengan para pelumba menikmati reka bentuk laluannya yang berliku dan lancar serta peluang untuk memotong.

Faktor cuaca juga sering memainkan peranan, dengan keadaan panas dan lembap menjadi cabaran besar buat para pelumba, selain kemungkinan hujan yang sentiasa ada.

Situasi itu memberikan dimensi tambahan kepada perlumbaan kali ini memandangkan musim 2026 sudah memasuki pusingan ke-16, namun masih belum menyaksikan sesi yang berlangsung sepenuhnya dalam keadaan basah.

Walaupun sudah lama tidak berada dalam kalendar Formula 1, 10 pelumba daripada barisan semasa pernah beraksi di Sepang.

Mereka ialah Fernando Alonso (penampilan pertama pada 2001), Lewis Hamilton (2007), Nico Hülkenberg (2010), Sergio Perez (2011), Valtteri Bottas (2013), Carlos Sainz (2015), Max Verstappen (2015), Esteban Ocon (2016), Pierre Gasly (2017) dan Lance Stroll (2017).

Alonso & Hamilton Teruja Berlumba Di Litar Sepang

Tiada seorang pun antara mereka yang lebih mengenali Litar Antarabangsa Sepang berbanding Alonso. Pelumba Sepanyol itu memenangi perlumbaan di Sepang pada 2005 bersama Renault, 2007 bersama McLaren dan 2012 bersama Ferrari.

Dengan rekod cemerlangnya di litar tersebut, tidak menghairankan apabila pelumba Aston Martin itu begitu teruja untuk kembali beraksi di Sepang.

“Ya, saya tidak sabar untuk kembali. Saya tidak menyangka akan berlumba di Malaysia lagi, jadi ini adalah satu peluang keemasan yang akan saya manfaatkan.”

“Ini litar yang luar biasa dan perlumbaan yang mencabar dari segi suhu serta kelembapan, seperti di Singapura tetapi berlangsung pada waktu siang.”

“Jadi, ia juga akan menjadi ujian yang baik buat para pelumba. Saya tidak sabar untuk kembali. Saya rasa daripada semua perlumbaan yang masih berbaki, Sepang mungkin merupakan litar yang paling menarik. Jadi, kita lihat nanti,” ujar Alonso menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi F1.

Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Alonso dalam penampilan keduanya dalam F1 pada 2007 sebelum memenangi perlumbaan tersebut pada 2014.

Beliau juga menghabiskan lebih banyak masa di Kuala Lumpur berbanding pelumba lain susulan hubungan jangka panjangnya dengan Petronas, penaja utama pasukan Mercedes.

“Saya memang sentiasa suka berkunjung ke Kuala Lumpur dan mempunyai banyak pengalaman menarik di sana bersama pasukan terdahulu,” katanya.

“Litar itu juga sangat hebat dan mampu menghasilkan perlumbaan yang menarik.”

“Jadi, saya sangat mengalu-alukan kepulangannya dan tidak sabar untuk beraksi di sana. Ia litar yang sangat panas dan bakal menjadi cabaran besar dari segi fizikal. Saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran itu.”

Sumber