Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memberi pilihan kepada  kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyahbekukan akaun dalam tempoh tiga hari atau berdepan tindakan undang-undang, lapor Berita Harian.

“Aman Palestin telah mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, hari ini, memberi notis bawah Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 untuk perintah pembekuan ini dibatalkan dan atau diubah,” kata peguam yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muhammad Rafique Rashid Ali pada sidang media malam tadi.

Baca Juga:

Tambah Rafique lagi, dia menggesa Ahli Parlimen dari blok kerajaan atau pembangkang untuk membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat sambil mempersoalkan mengapa agensi penguat kuasa mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusia.

“Mengapakah tindakan itu diambil hanya sehari selepas Aman Palestin mengumumkan penyaluran wang untuk Kempen Bantuan Musim Sejuk dan ketika gencatan senjata diisytiharkan?

“Bagaimana wang derma, sumbangan rakyat dan individu-individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?” katanya.

Aman Palestin beranggapan bahawa kenyataan media SPRM pada 23 November lalu berniat jahat dan mempunyai komplot terancang untuk membunuh karakter Aman Palestin serta ahli Lembaga Pengarahnya.

“Aman Palestin dan ahli-ahli Lembaga Pengarahnya kini disiasat oleh SPRM. Kali pertama SPRM hadir ke premis berdaftar Aman Palestin ialah pada 17 Oktober lalu, dan tiada serbuan atau tangkapan dibuat ketika itu,” katanya sambil menambah dari tarikh 17 Oktober, hingga sekarang pihak Aman Palestin telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM.

Mengenai jongkong emas yang dijumpai dalam serbuan SPRM baru-baru ini, Aman Palestin menafikan ia mempunyai unsur penyelewengan. Rafique mendakwa bahawa jongkong emas itu adalah suatu bentuk pelaburan yang dibenarkan berdasarkan kuasa yang diberikan kepada ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin.