Isu perlumbaan haram dan aksi berbahaya di jalan raya nampaknya bakal memasuki babak baharu yang jauh lebih tegas.

Buat mereka yang masih gemar menjadikan jalan awam sebagai litar lumba peribadi, tempoh untuk bermaharajalela kini semakin suntuk.

Bermula 1 November ini, pesalah yang sering dikaitkan dengan gelaran mat rempit bakal berdepan dengan tindakan undang-undang yang jauh lebih keras, termasuk risiko dimasukkan ke dalam tirai besi.

Pindaan Akta 333 Kini Di Peringkat Akhir

Amaran JPJ Malaysia: Pesalah Lumba Haram Berdepan Penjara Mulai 1 November
Sumber Gambar: Bernama

Langkah tegas ini diambil berikutan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang telah pun meluluskan fasa penting di Parlimen. Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, pihak beliau kini sedang menunggu maklum balas akhir daripada Jabatan Peguam Negara sebelum proses penuangan ke dalam warta rasmi dimuktamadkan lapor Harian Metro.

“Pindaan kepada Akta 333 telah pun diluluskan oleh Parlimen dan jika semuanya berjalan lancar, undang-undang baharu ini akan mula dikuatkuasakan pada 1 November nanti,” kata Datuk Muhammad Kifli.

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan baharu ini tidak lagi memberi ruang selesa kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang keselamatan jalan raya.

“Kita akan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat, termasuk hukuman penjara, bagi kesalahan yang melibatkan mat rempit,” tambah beliau lagi.

Kuala Lebih Luas Untuk Pegawai Penyiasat

Aktiviti samseng jalanan ini diakui masih menjadi duri dalam daging serta isu nasional yang memerlukan perhatian berterusan. Oleh itu, penambahbaikan undang-undang ini direka khas bagi memudahkan pegawai penguat kuasa mengambil tindakan undang-undang dengan lebih efektif dan pantas di lapangan.

Melalui pindaan di bawah Seksyen 42(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pegawai penyiasat kini diberikan asas undang-undang yang lebih kuat untuk memburu serta menahan mana-mana individu yang terlibat dalam perlumbaan haram atau tunggangan berbahaya.

Langkah ini dijangka mampu memberi tekanan fizikal dan perundangan kepada golongan yang kerap meragut ketenteraman awam.

Kerjasama JPJ Dan PDRM Gempur ‘Hotspot’ Berulang

Bukan sekadar pengetatan undang-undang secara umum, pihak JPJ juga memberi tumpuan khusus kepada kawasan-kawasan panas yang kerap menjadi sarang aktiviti ini.

Salah satu lokasi yang dikenal pasti ialah kawasan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu.

Datuk Muhammad Kifli menjelaskan bahawa aktiviti perhimpunan dan lumba haram di kawasan berkenaan merupakan isu berulang yang memerlukan tindakan drastik.

Bagi memastikan kelancaran operasi, JPJ akan memperkemaskan kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Melalui gabungan tenaga dua agensi keselamatan utama ini, tindakan lebih padu akan diambil bagi melumpuhkan kegiatan samseng jalanan di lokasi berkenaan seterusnya mengembalikan rasa selamat kepada penduduk setempat.

Pelaksanaan pindaan ini membawa mesej yang sangat jelas daripada pihak berkuasa. Jalan raya adalah hak milik bersama yang perlu dihormati, dan langkah drastik ini diharap mampu mendidik masyarakat sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jiwa di negara kita.