Puspakom telah memberi amaran kepada syarikat filem penapis haba (tinted) dan runner kenderaan agar tidak mengelirukan orang ramai mengenai peranan sebenar syarikat itu dalam pemeriksaan kenderaan, terutamanya berkaitan dengan pematuhan cermin gelap.
Ini berikutan timbulnya kad jaminan daripada jenama filem penapis haba terkenal yang mendakwa produk mereka ‘mematuhi JPJ’ tetapi ‘tidak mematuhi Puspakom‘.
Baca Juga:
- Insiden UPSI: Pemandu Dakwa Brek Bermasalah, PUSPAKOM Dapati Bas Tiada Isu Mekanikal

- ‘Runner Kaut Untung, Jual Slot Tempahan Dari RM3.50 Jadi RM750’ – PUSPAKOM

- Kementerian Pengangkutan, JPJ Umum Tiga Syarikat Bersaing Dengan Puspakom

Memetik Free Malaysia Today, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, dakwaan sebegitu adalah mengelirukan dan tidak berasas.
Puspakom ikut spesifikasi JPJ

Katanya, Puspakom tidak menetapkan peraturan tersendiri berkenaan tahap kegelapan cermin (tinted).
“Tiada istilah ‘standard Puspakom’ untuk cermin gelap.
“Kami hanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan melaksanakannya secara konsisten semasa pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahmood turut menegaskan bahawa pihaknya menolak sekeras-kerasnya penggunaan nama syarikat itu untuk memberi justifikasi terhadap kegagalan pemeriksaan, atau bagi menggambarkan seolah-olah wujud standard yang berbeza daripada JPJ.
Menurut beliau, kegagalan dalam ujian pemeriksaan biasanya berpunca daripada tahap transmisi cahaya tampak (VLT) keseluruhan – iaitu kombinasi antara kaca asal kenderaan dan filem tinted – yang tidak memenuhi syarat JPJ.
Beliau menjelaskan bahawa sesetengah kenderaan memang dilengkapi dengan kaca gelap dari kilang, yang secara automatik sudah menjejaskan tahap VLT sebelum filem tambahan dipasang.
Justeru, walaupun sesuatu filem tinted itu mematuhi piawaian JPJ apabila dipasang pada kaca jernih, ia masih boleh gagal dalam ujian apabila digabungkan dengan kaca kilang yang telah pun gelap.

Mahmood turut mengingatkan bahawa tahap VLT minimum yang ditetapkan oleh JPJ adalah 70% untuk cermin hadapan (windscreen), 50% untuk cermin sisi hadapan dan tiada had untuk cermin sisi belakang dan cermin belakang.
Beliau menyeru orang ramai supaya berhati-hati dengan runner atau ejen yang menggunakan maklumat palsu untuk mendesak pemilik kenderaan menanggalkan tinted atau membayar lebih kononnya untuk ‘selesaikan masalah’.