Penduduk di sekitar Lembah Klang kini mempunyai akses kepada perkhidmatan ambulans kecemasan secara percuma dengan hanya menghubungi talian 15551, iaitu nombor kecemasan berpusat baharu yang diperkenalkan oleh IHH Healthcare Malaysia.

Dilancarkan pada Isnin lalu (23 November), perkhidmatan ini menghubungkan enam buah hospital di bawah rangkaian IHH di Lembah Klang bagi menyediakan tindak balas kecemasan dan penghantaran pesakit terus ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) mereka, petik The Star.

Enam hospital yang terlibat dalam inisiatif ini adalah:

1. Gleneagles Hospital Kuala Lumpur

2. Pantai Hospital Kuala Lumpur

3. Pantai Hospital Ampang

4. Pantai Hospital Cheras

5. Pantai Hospital Klang

6. Prince Court Medical Centre

Dilengkapi Fasiliti Sokongan Hayat Lanjutan dan Penjejakan Masa Nyata

Perkhidmatan ini menggunakan ambulans Jenis A yang dilengkapi dengan keupayaan sokongan hayat lanjutan seperti mesin defibrilasi, sokongan oksigen dan saluran pernafasan, ubat-ubatan kecemasan, serta peralatan pemantauan pesakit.

Setiap pasukan ambulans terdiri daripada seorang paramedik atau juruteknik perubatan kecemasan bersama pemandu terlatih, manakala jururawat atau doktor akan turut dikerahkan bagi kes kritikal sekiranya diperlukan secara klinikal.

Di bawah sistem berpusat ini, setiap panggilan akan dikendalikan oleh Pusat Kawalan Ambulans IHH yang akan menilai keadaan serta lokasi pesakit sebelum menghantar ambulans terdekat yang mempunyai keupayaan klinikal bersesuaian.

Jabatan kecemasan hospital penerima juga akan dimaklumkan lebih awal supaya pasukan perubatan dapat bersiap sedia sebelum ketibaan pesakit.

Lebih menarik, pemanggil akan menerima pautan menerusi aplikasi WhatsApp dan SMS untuk menjejak lokasi ambulans secara masa nyata (real-time) serta melihat anggaran masa ketibaan (ETA).

Sumber