Amerika Syarikat dan Isra*l dilaporkan sedang merangka rancangan untuk melancarkan serangan ketenteraan baharu terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November ini.
Menurut laporan The New York Times pada 21 Oktober, rancangan itu melibatkan operasi ketenteraan singkat tetapi intensif yang menyasarkan infrastruktur tenaga, kemudahan nuklear serta arsenal peluru berpandu dan dron Iran.
Laporan yang memetik pegawai Amerika Syarikat dan individu yang mengetahui perbincangan berkenaan itu menyatakan bahawa kedua-dua negara telah meningkatkan latihan ketenteraan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan baharu.
Antara latihan yang dilaporkan dilakukan termasuk penerbangan pesawat tentera di ruang udara Iraq bagi menguji pergerakan dan strategi serangan.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, juga dilaporkan bertemu Perdana Menteri Isra*l, Benjamin Netanyahu, ketika lawatannya ke negara itu minggu ini bagi membincangkan kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Sebahagian perancang Amerika Syarikat percaya kempen serangan selama kira-kira tiga hari mampu memberikan tekanan ekonomi yang cukup besar terhadap Tehran sehingga memaksanya kembali ke meja rundingan berkaitan program nuklear.
Bagaimanapun, Presiden Donald Trump masih belum meluluskan sebarang operasi ketenteraan baharu.
Beliau sebelum ini beberapa kali menangguhkan rancangan serangan, termasuk operasi yang dilaporkan hampir dilaksanakan pada awal bulan ini.
Washington dijangka melengkapkan penempatan aset ketenteraannya di rantau berkenaan menjelang awal November, ketika usaha diplomatik untuk menyelesaikan pertikaian dengan Iran masih diteruskan.
Iran pula memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu akan mengundang tindak balas lebih luas.
Tehran dilaporkan memberi bayangan bahawa kemudahan penapisan minyak, pusat data dan kabel internet dasar laut boleh menjadi antara sasaran tindak balasnya.
Perkembangan ini meningkatkan kebimbangan bahawa konflik baharu boleh mencetuskan perang serantau yang lebih besar, selain memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia.
Setakat laporan itu diterbitkan, keputusan muktamad Trump untuk meluluskan serangan baharu masih belum diketahui.