Malaysia menjadi salah satu laluan utama penyeludupan cip AI selepas berlakunya krisis peperangan perdagangan di antara kuasa besar AS dan China.

Memetik Bloomberg, Amerika Syarikat kini dilaporkan sedang mempertimbangkan perancangan mengehadkan penghantaran cip kecerdasan buatan ke negara Malaysia dan Thailand.

Langkah drastik tersebut perlu dilakukan dalam usaha mengurangkan kebocoran cip dan semikonduktor kepada negara pesaing iaitu China menerusi negara-negara di Asia Tenggara yang bersifat neutral.

cip
Sumber Gambar: Bloomberg

Seiring dengan perubahan baharu ini, beberapa langkah dijangka akan diperkenalkan. Ini termasuklah kawalan eksport yang memerlukan kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu, atau dalam bentuk keperluan perlesenan khas

Langkah ini dijangka akan memberi impak kepada proses eksport barangan tertentu.

Isu Penyeludupan Cip AI: AS Perketat Kawalan, Malaysia Jadi Laluan?

brics
Sumber Gambar: Premium Times Nigeria

Untuk makluman, Amerika Syarikat sebelum ini telah mengharamkan penjualan cip kecerdasan buatan (AI), terutamanya dari NVIDIA, kepada China.

Namun, didapati China menggunakan pelbagai kaedah lain untuk mendapatkan akses kepada cip-cip berkenaan, termasuk melalui rantau Asia Tenggara.

Terdapat laporan terdahulu yang mendedahkan bahawa cip AI dan pelayan telah diseludup, dan laluan yang dikenal pasti adalah dari Singapura melalui Malaysia.

Ini menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana kawalan eksport ini dipintas dan peranan Asia Tenggara sebagai titik transit dalam isu ini.

Sekatan Cip AS Makin Meluas, Malaysia Pernah Terkesan

Sejak 2023, Amerika Syarikat telah mengetatkan kawalan eksport cip dan semikonduktor keluaran syarikat tempatan ke beberapa negara, termasuk di Timur Tengah.

Malah, sebelum ini, AS pernah memperkenalkan tiga tahap halangan dagangan berbeza.

Pada waktu itu, Malaysia sendiri diletakkan di bawah kategori kedua dengan beberapa had dan sekatan tertentu, menunjukkan betapa isu kawalan teknologi ini bukanlah perkara baharu bagi rantau kita.

Banyak kesan negatif yang bakal dihadapi oleh negara Malaysia jika laluan perdagangan ini disekat termasuklah syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia mungkin pertimbang untuk berpindah ke negara lain, kenaikan kos pematuhan yang tinggi dan juga tidak menjadi pemain utama di dalam arena cip semikonduktor global lagi.