Pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, An Se-young merupakan figura yang cukup hebat dalam kancah badminton dunia bukan sekadar kerana keupayaannya meraih gelaran demi gelaran tetapi juga bersandarkan karakternya yang matang dan tenang di usia muda.

Setiap kali melangkah ke gelanggang, beliau membawa gaya permainan yang penuh disiplin, tajam dan sentiasa memberikan kesukaran buat lawannya.

Semalam, anak kelahiran Gwangju itu menjuarai Terbuka Australia 2025 selepas menewaskan wakil Indonesia, Putri Kusuma Wardani 21-16, 21-14.

Karier Hebat An Se-young

Kejayaan manis yang turut memecahkan rekodnya sendiri sebagai pemain perseorangan wanita paling banyak memenangi siri jelajah dunia BWF dengan 10 kejuaraan.

Selain daripada kegigihan serta kemampuan hebatnya ketika beraksi, Se-young turut menitikberatkan aspek pemakanannya.

Pemain berusia 23 tahun itu difahamkan sangat teliti dalam memastikan setiap apa yang masuk ke dalam badannya selari dengan keperluan sebagai atlet elit dunia.

Dalam satu temubual eksklusif bersama tvN, An Se-young mendedahkan tentang rejim pemakanan ketat untuk mengekalkan prestasi pada tahap terbaik.

“Ketika kejohanan, saya elakkan produk tenusu dan makanan mentah dan hanya mengambil karbohidrat, protein dan lemak dalam kadar seimbang.”

“Saya langsung tak makan makanan bergoreng. Sebab musim pertandingan masih berjalan. Saya ada sedikit masa hujung tahun, jadi saya makan sekali ketika itu.”

“Saya makan masa Krismas tahun lepas dan sejak itu memang tak sentuh langsung,” tambah beliau lagi.

Berpegang pada disiplin itu, tidak hairanlah mengapa An Se-young sering tampil konsisten walaupun berdepan jadual perlawanan yang padat dan intensif.