Zoo Melaka mencatatkan perkembangan positif berhubung program pembiakan hidupan liar apabila mengumumkan kelahiran seekor anak harimau kumbang jantan pada 22 Julai lalu.

Anak harimau kumbang tersebut dilahirkan secara semula jadi menerusi pasangan harimau kumbang betina bernama Minah Beting, yang dianggarkan berusia enam tahun, dan harimau kumbang jantan bernama Tommy, yang berusia 11 tahun.

Menurut pihak pengurusan zoo, bayi spesies terancam itu berada dalam keadaan sihat, aktif, dan menunjukkan perkembangan fizikal yang memuaskan di bawah jagaan rapi ibunya.

Pihak Zoo Melaka turut mengambil kesempatan mengundang orang ramai untuk mengemukakan cadangan nama bagi anak harimau kumbang jantan berkenaan.

“Cuba teka nama apa yang sesuai untuk baby boy baru kita ni?” kata pihak zoo berkenaan.