Seorang ibu di Guangdong, China kini menyesal dengan tindakannya setelah meninggalkan anak lelakinya yang enggan mendengar kata terbaring di tengah jalan, hingga ia hampir membawa padah.

Dalam sebuah video berdurasi 25 saat yang kini tular di Douyin, kelihatan seorang wanita cuba membawa anak lelakinya untuk melintas jalan bersama-sama.

Namun, kanak-kanak itu enggan bekerjasama dan mula mengamuk dengan menjatuhkan badannya, menyebabkan ibunya terpaksa menariknya dengan kuat untuk membuatkan dia berdiri semula.

Setelah melihat usahanya sia-sia, wanita tersebut akhirnya melepaskan anaknya dan meninggalkannya terbaring di tengah jalan.

Wanita itu kemudian berjalan ke tepi jalan dalam keadaan marah dan menunjukkan isyarat geram kepada anaknya.

Ketika kanak-kanak itu terus berbaring di jalan, sebelum sebuah kereta hitam dilihat membuat pusingan dan menuju ke arahnya.

Berdasarkan rakaman CCTV, tayar depan kiri kereta itu hampir kena budak tersebut, namun malangnya, tayar belakang kiri kereta tersebut dilihat menggilis kepala kanak-kanak itu.

Tidak diketahui sama ada pemandu kereta tersebut sedar akan kehadiran kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun, nasib budak itu selamat apabila tiada apa-apa yang berlaku namun kelihatan kanak-kanam tersebut memegang kepalanya yang kesakitan dan berguling ke tepi jalan sementara ibunya berlari ke arahnya dalam keadaan cemas.

Menurut media tempatan, kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke hospital.

Klip video tersebut kini telah mendapat ribuan tontonan dan pelbagai komen marah dari netizen yang terkejut dengan tindakan ibu tersebut yang ‘mendisiplinkan’ anaknya kerana mengamuk.