Nazir Razak, bekas pengerusi kumpulan CIMB telah mengikat tali perkahwinan kali kedua. Namun, melalui perkongsian anaknya di laman X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, terdapat bau-bau rasa kurang senang atau keadaan huru-hara dengan situasi terkini bapanya yang sudah berkahwin lain.

Di laman Twitter, anaknya Marissa meluahkan rasa kecewanya terhadap perkahwinan mewah bapanya – yang juga adik kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak – dengan Yati Zainudin, yang berlangsung pada 17 November lalu.

Baca Juga:

Dia memulakan kata dengan berkongsi bahawa dia bukan seseorang yang suka berkongsi mengenai masalah keluarga, namun disebabkan perkahwinan ayahnya baru-baru ini, ia telah mendorongnya untuk menulis sebuah catatan panjang lebar.

“Kami amat sakit hati melihat ibu kami diperlakukan dengan tidak berperasaan dan diabaikan,” tulis Marissa Nazir di Instagram sebelum mengkritik bapanya yang tidak bertimbang rasa terhadap keluarga.

“Saya fikir perkahwinan ke-2 (& dalam kes ini merupakan perkahwinan ke-3 wanita itu) selalunya terjadi dalam keadaan yang tenang & bijaksana – tambahan pula hanya 2 bulan sejak perceraian ibu bapa saya disahkan secara rasmi di mahkamah.

“Sebaliknya ayah saya mengadakan majlis perkahwinan yang besar dan berprofil tinggi, yang tidak mengambil kira perasaan anak-anaknya atau ibu kami, isterinya selama 30 tahun. Tiada seorang pun daripada kami dimaklumkan tentang perkahwinan itu – kami mengetahuinya daripada tetamu jemputan dan media sosial.

“Saya juga terkejut melihat kiriman insta ayah saya yang menyakitkan hati dan tidak sedar diri berkata ‘saya berkahwin hari ini!’ – seloroh seperti mengumumkan bahawa dia baru sahaja membeli set kayu golf baharu,” tambahnya.

Marissa menuduh Nazir tidak sensitif serta menunjukkan bahawa wujud kecurangan semasa ibunya masih sakit pada 2020-21. Marissa juga mempersoalkan tempoh keputusan yang diambil untuk berkahwin dengan wanita yang pernah menjadi kawan ibunya selepas hanya dua bulan perceraian dimuktamadkan di mahkamah.

Tambahan pula, anak perempuannya itu melahirkan rasa terkejut dengan kemewahan majlis tersebut yang dihadiri ratusan tetamu, termasuk kumpulan yang pernah memenangi anugerah Grammy yang diterbangkan dari luar negara.

“Mereka yang menghadiri majlis perkahwinan – ramai di antara anda mengenali ibu saya & mungkin menerima layanannya pada masa lalu – harap maklum bahawa anda sedang meraikan penyatuan yang disebabkan oleh perselingkuhan & penipuan,” katanya.

“Wanita yang dimaksudkan (serta adik-beradiknya) adalah kawan ibu saya. Semasa kecil saya masih ingat ibu meminjamkan ‘makcik Yati’ baju kurungnya untuk dipakai oleh wanita itu semasa pengebumian ayahnya. Saya masih ingat ibu melakukan kebaikan untuk makcik. Tini & auntie Shireen, termasuk meminjamkan kereta kami & membantu abang mereka mendapat pekerjaan di CIMB.”

“Ibu sangat sakit semasa wabak pada 2020-21 & tidak dapat melakukan apa-apa. Semasa saya & abang saya bergilir-gilir untuk menjaganya, ayah saya meneruskan hubungan sulit dengan wanita itu.”

Selain itu, Marissa juga mempersoal ‘Nilai Keluarga’ yang pernah ditulis oleh ayahnya di dalam buku biografinya, What’s In A Name.

“Ayah saya menulis satu bab tentang ‘Nilai Keluarga’ dalam biografinya tetapi sebenarnya, semua yang saya dan abang saya pelajari tentang nilai keluarga adalah daripada ibu kami – kejujuran, integriti, kesetiaan dan kasih sayang,” katanya.

“Dia setia dengan ayah saya bukan sahaja pada masa senang tetapi juga pada masa susah. Dia merawatnya dan mengambil alih doktor ketika dia sakit kanser. Apabila ayah ditolak keluar dari CIMB, saya masih ingat dia berjaga lewat menulis laporan panjang untuk melobi pegawai baharu. Semasa SPRM menyiasat ayah, saya masih ingat dia menghadiri semua mesyuarat peguam & membantu mengatur strategi pembelaannya. Selama ini membesarkan abang & saya, serta membuat PhD sendiri di Oxford.”

“Saya dan Arman menerima bahawa keluarga kami berpecah belah dan ibu bapa kami tidak lagi bersama. Tetapi kami sangat menyayangi ibu kami dan akan menentang sebarang percubaan untuk menyakitinya atau memadamkan ingatan keluarga yang cuba dibinanya,” katanya.