Stadium SoFi di Los Angeles menjadi saksi bagaimana sebuah pasukan gergasi Eropah, Belgium, buntu untuk mencari jalan menembusi pertahanan yang dibina oleh Iran.

Mereka berjaya juga beberapa kali sampai benar benar hampir kepada gol, namun Alireza Beiranvand membuktikan sekali lagi bahawa dia nama yang underrated dalam sejarah Piala Dunia.

Berikut adalah analisis kami tentang 5 perkara daripada kegagalan Belgium untuk menang semalam.

1. Penyakit tumpul yang Kronik

Belgium melepaskan 23 percubaan—satu angka yang sangat besar—namun tiada satu pun yang menerjah jaring.

Ini adalah rekod terburuk mereka dalam Piala Dunia sejak 1994 (ketika menentang Arab Saudi).

Isunya di sini bukan sekadar “tak masuk”, tetapi kualiti penyudah di final third yang sangat lemah.

Sama ada mereka terlalu gopoh atau hantaran terakhir yang tidak menepati sasaran, Belgium kelihatan seperti pasukan yang memiliki “kunci” tetapi tidak tahu di mana lubang mangganya.

Dominasi tanpa efisiensi hanyalah sebuah statistik kosong.

Analisis Taktikal: Apabila Penguasaan Bola Sekadar Ilusi Belgium Berdepan Tembok Parsi Diketuai Alireza Beiranvand

Sebelum ini mereka ada Kevin De Bruyne yang boleh menjelmakan magis apabila penyerang buntu, namun dia sudah berusia, kudratnya tidak seperti dahulu.

2. Isu Mobiliti Romelu Lukaku

Luis Miguel Echegaray dari Fox Sports tidak berselindung dalam kritikan beliau: “Lukaku cannot lead this line from the start.”

Dan mungkin ada asasnya. Lukaku yang kita lihat semalam bukanlah “beast” yang menggerunkan pertahanan lawan.

Isu match fitness benar benar ketara kali ini. Lukaku yang tidak beraksi sebahagian besar musim lalu di Napoli. Dengan isu kecederaan dan isu merajuk dengan pasukan.

Lukaku kelihatan berat, kurang mobiliti, dan sering kali kalah dalam pertempuran fizikal dengan pertahanan Iran yang bermain secara low-block.

Ya, Lukaku yang gedabak itu beberapa kali gagal dalam duel fizikal. Pada perlawanan pertama dia masuk sebagai supersub dan terus memberikan impak kerana pergerakannya mendesak pertahanan lawan melakukan kesilapan untuk own goal.

Hari ini, dia gagal dalam banyak aspek. Dia malah gagal melakukan hold-up play yang efektif yang menjadi cap dagangnya dalam bola sepak.

Lukaku tidak dapat larian di belakang pertahanan, dan seluruh struktur serangan akan menjadi statik. Belgium memerlukan penyerang yang lebih lincah untuk memecahkan blok rendah seperti Iran.

Dengan Lukaku yang tercari cari rentak, pemain seperti De Bruyne, Trossard atau Saelemaekers pun bingung sama ada nak menghantar bola atau melakukan percubaan sahaja.

3. ‘The Doku Factor’ – Kehilangan Dimensi Serangan

Ketiadaan Jeremy Doku akibat sakit adalah tamparan hebat buat Rudy Garcia.

Tanpa Doku, serangan Belgium menjadi sangat predictable (mudah diramal).

Mereka kehilangan elemen kepantasan 1v1 dan keupayaan untuk memecahkan blok pertahanan melalui larian solo.

Akibatnya, Belgium terpaksa bergantung kepada hantaran lintang (crosses) dari kawasan dalam yang sangat mudah dibaca oleh pertahanan Iran.

Malah, pundit dari The Athletic menyifatkan taktikal ini sebagai “aneh” kerana selepas Lukaku dikeluarkan, Belgium masih gigih melakukan hantaran lintang kepada pemain seperti Tielemans yang bukannya pakar udara.

4. Kad Merah Nathan Ngoy

Ketika Belgium sedang terdesak mencari gol, disiplin pertahanan pula meruntuh. Kad merah Nathan Ngoy pada minit ke-66 selepas menjatuhkan Mehdi Taremi adalah titik tolak yang mematikan momentum.

Bermain dengan 10 orang bermakna Belgium tidak lagi boleh menekan secara total. Mereka terpaksa mengimbangi risiko serangan balas pantas Iran yang diketuai Taremi.

Kegagalan Ngoy untuk mengawal emosi dan teknikal ketika fasa transisi bertahan telah meragut peluang terakhir Belgium untuk “all-out” di hujung perlawanan.

Ia malah mengubah momentum dan intensiti Belgium yang terpaksa harus dikurangkan sedikit.

5. Prestasi Alireza Beiranvand

Ianya akan dikenang sebagai antara aksi terbaik penjaga gol dalam sejarah Piala Dunia. Alireza Beiranvand melakukan 7 penyelamatan dalam perlawanan ini.

Dari awal lagi dia sudah membuatkan pemain pemai  Belgium dapat merasai bahawa, hari semalam memang hari miliknya.

Rumusan

Ini adalah bukti bahawa penguasaan tinggi cuma ilusi tanpa ada ancaman yang benar benar tajam.

Agak sukar untuk percaya kerana Belgium benar benar kekurangan kualiti serangan untuk menunjukkan potensi sebenar mereka untuk mara lebih jauh.

Ini adalah sisa generasi emas mereka era Eden Hazard, dan sekarang Belgium terkapai kapai nak mencari pengganti kepada pemain seperti Lukaku sendiri.

Lukaku sudah berusia, namun dia masih dipanggil walaupun kurang minit permainan, bukti bahawa Belgium benar benar kekurangan bakat di serangan.

Sekali lagi, Belgium harus berterima kasih kepada Thibaut Courtois yang sentiasa konsisten. Dia menafikan beberapa percubaan bahaya Iran yang boleh memberikan Belgium lebih masalah.

Namun kredit terbesar harus diberikan kepada Alireza Beiranvand.

Penjaga gol Iran ini adalah wira sebenar dengan siri penyelamatan “world-class” yang mengecewakan Kevin De Bruyne dan rakan-rakan.

Jika Belgium mahu melangkah jauh, isu efisiensi dan kebergantungan kepada pemain tertentu harus diselesaikan sebelum menentang New Zealand.

Jika tidak, “Generasi Emas” mereka mungkin akan berakhir dengan satu lagi kekecewaan yang besar.