Presiden Donald Trump telah mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan mengenakan tarif 100% ke atas cip dan semikonduktor yang diimport.
Langkah drastik ini bertujuan untuk memaksa syarikat pengeluar semikonduktor, seperti yang berpangkalan di Malaysia, untuk memindahkan operasi dan kilang mereka ke dalam Amerika Syarikat.

Menurut Trump, inilah satu-satunya cara untuk mengelakkan tarif yang tinggi ini. Dengan kata lain, syarikat-syarikat ini kini berdepan dengan pilihan sama ada untuk terus mengimport produk mereka dan membayar tarif yang sangat mahal, atau memindahkan pengeluaran mereka ke tanah Amerika Syarikat untuk mendapatkan akses pasaran tanpa cukai.
“Kami akan mengenakan tarif yang sangat besar ke atas cip dan semikonduktor, tetapi berita baik untuk syarikat seperti Apple ialah, jika anda membina di Amerika Syarikat, atau telah komited untuk membina, tanpa soal, komited untuk membina di Amerika Syarikat, tidak akan ada caj.”
Setakat ini masih belum diketahui bilakah tarikh sebenar tarif ini bakal dikuatkuasakan secara rasmi oleh Trump. Apa yang pasti ia akan memberikan kesan negatif kepada sejumlah ke atas industri berkaitan peranti pintar, elektronik, komputer, automotif dan banyak lagi.
Berita ini merupakan satu tamparan hebat kepada Malaysia, yang merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.
Antara ancamannya ialah pelabur akan berpindah dari pasaran Malaysia, harga produk semikonduktor buatan Malaysia naik berlipat kali ganda dan rantaian bekalan tempatan akan terjejas.
Dasar ini berisiko melumpuhkan industri semikonduktor Malaysia yang merupakan salah satu tonggak utama ekonomi negara.