Mulai Julai 2025, pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menerima bil elektrik dalam format baharu yang jauh lebih terperinci – satu langkah penting ke arah ketelusan dan pemahaman lebih jelas terhadap struktur caj elektrik di Malaysia.
Langkah ini adalah hasil daripada pelaksanaan struktur tarif elektrik baharu yang diumumkan Suruhanjaya Tenaga di bawah mekanisme Incentive-Based Regulation (IBR), seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Ia diluluskan kerajaan untuk memastikan pengguna bukan sahaja tahu berapa yang mereka bayar, tetapi juga apa sebenarnya yang mereka bayar.
Format Bil TNB Baru
Menerusi format bil baharu ini, pengguna akan melihat pecahan tiga komponen utama iaitu caj penjanaan (generation charge), caj rangkaian (network charge), dan caj runcit (retail charge). Ketiga-tiga komponen ini membawa peranan masing-masing:

- Caj Penjanaan melibatkan kos bahan api, kapasiti penjanaan elektrik dan penyesuaian harga bahan api global.
- Caj Rangkaian pula membabitkan kos operasi sistem penghantaran dan penyelenggaraan infrastruktur bekalan elektrik.
- Caj Runcit merangkumi kos khidmat pelanggan, penyediaan bil dan pengurusan akaun pengguna.
TNB menyatakan bahawa format baharu ini direka khas untuk membantu pelanggan memahami setiap sen yang dibelanjakan, sekali gus membuat keputusan lebih bijak dalam pengurusan tenaga harian mereka.
Peralihan Dari Lama Ke Baharu
Sebelum beralih ke sistem baharu, pengguna akan menerima bil transisi pada bulan Julai 2025, yang memaparkan dua kadar berbeza – satu berdasarkan struktur lama (sehingga 30 Jun 2025), dan satu lagi berdasarkan struktur baharu (bermula 1 Julai 2025).

Bil transisi ini boleh diakses menerusi aplikasi dan portal myTNB dalam tempoh 24 jam selepas bacaan meter, manakala bil bercetak akan dihantar dalam masa tujuh hari bekerja.
Bagi memastikan ketelusan penuh, pelanggan juga akan menerima slip pengesahan bacaan meter sebagai bukti bahawa bacaan sebenar telah dijalankan.
Ogos 2025 – Semua Bil Format Baru
Mulai Ogos 2025, semua bil elektrik akan menggunakan struktur baharu ini sepenuhnya – dengan pecahan caj yang jelas dan telus, bagi menggantikan format lama yang sering menjadi punca kekeliruan dan persoalan dalam kalangan pengguna.
Bagi membantu rakyat menyesuaikan diri, TNB turut menyediakan kalkulator bil elektrik dalam talian di portal rasmi mereka.

Pengguna boleh menggunakan alat ini untuk membuat anggaran jumlah bil berdasarkan penggunaan sebenar dan kadar tarif baharu.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi www.mytnb.com.my/tariff, menghubungi TNB CareLine di 1300-88-5454 atau berkunjung ke mana-mana Kedai Tenaga di seluruh negara.