Veteran tentera Amerika Syarikat (AS), Thomas Doherty, meluahkan rasa kagum terhadap perkembangan pesat infrastruktur dan kemudahan di Malaysia, selain mengimbau kenangan manis menikmati hidangan di cawangan restoran makanan segera ikonik, A&W.
Menerusi hantaran X.com @dohertytjp, Thomas yang juga seorang peguam dan pernah terlibat dalam pelbagai program bantuan kemanusiaan antarabangsa, berkongsi pandangannya mengenai tarikan unik negara ini.
Menurutnya, jenama minuman Root Beer A&W kelihatan mempunyai populariti yang lebih tinggi di Malaysia berbanding di tanah airnya sendiri di AS.
“A&W Root Beer mungkin lebih popular di Malaysia daripada Amerika Syarikat. Saya menikmati minuman root beer buat kali pertama selepas bertahun-tahun, dan ia benar-benar mengimbau kenangan zaman kanak-kanak saya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai restoran makanan segera berkenaan, Doherty mengesahkan bahawa beliau pernah berkunjung dan menikmati hidangan ayam goreng di cawangan A&W terua di Malaysia yang terletak berhampiran Stesen LRT Taman Jaya, Petaling Jaya.
Dia turut mengagumi keunikan Pasar Hujung Minggu Amcorp Mall yang berdekatan dengan lokasi tersebut.
A&W Root Beer is maybe more popular in Malaysia than in USA.
I had a root beer for the first time in years, brought back childhood. pic.twitter.com/rJa09t14Nt— Thomas Doherty (@dohertytjp) September 14, 2026
Selain nostalgia kuliner, Doherty turut memberikan pujian tinggi terhadap taraf infrastruktur awam dan kemudahan swasta di Malaysia yang disifatkannya sebagai cemerlang.
Antara perkara yang menarik perhatian beliau termasuk kemudahan tandas awam yang bersih di pelbagai lokasi serta rangkaian perkhidmatan kereta api laju yang menghubungkan sempadan Thailand hingga ke Singapura.
Beliau juga kagum dengan penguasaan bahasa asing di negara ini apabila menyatakan bahawa majoriti rakyat Malaysia mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan amat baik.
Perkongsian positif daripada pengamal undang-undang dan veteran tentera AS ini mendapat perhatian pengguna media tempatan yang rata-ratanya menghargai pandangan membina mengenai kemudahan dan budaya ramah mesra di Malaysia.