Sebelum kita memulakan perjalanan ke sesuatu destinasi terutama sekali luar negara, kita perlu pastikan pasport kita dalam tempoh yang sah dan menyediakan pelbagai dokumen untuk memastikan kelancaran apabila berdepan pihak imigresen sesuatu negara itu.
Terbaharu, seorang pengguna TikTok @beemyfweeen telah berkongsi sebuah video memaparkan dirinya yang hampa tidak dapat memulakan percutiannya di Korea Selatan selepas ditahan pihak imigresen di sana.
Baca Juga:
- Angkara ‘Validity’ Pasport Tidak Sampai 6 Bulan, Keluarga Ini Sedih Gagal Naiki Kapal Cruise
- Tidak Tersenarai Dalam Sistem Permit Pekerjaan, Ini Cara Untuk Warga Malaysia Bekerja Di Korea Selatan Secara Sah
Menurutnya, mereka telah menyediakan jadual perjalanan dan mencetak semua dokumen yang diperlukan, termasuk tiket penerbangan, tempahan hotel, dan K-ETA, borang kebenaran perjalanan elektronik wajib untuk negara bebas visa.
Apabila dia tiba di Lapangan Terbang Incheon, pegawai imigresen meminta semua dokumen biasa yang dia sediakan dan bertanya mengapa dia tidak mempunyai sejarah melancong.
Susulan itu, dia menjelaskan bahawa dia telah memperbaharui pasportnya tetapi tidak membawa pasport lama apabila diminta. Kemudian, dia diiringi oleh pegawai lain untuk disoal siasat tambahan.
Selepas temu bual itu, pegawai imigresen memaklumkan dia dan rakannya ‘tidak bersedia untuk perjalanan ini’ dan diarahkan untuk menunggu di dalam bilik sebelum diberitahu perlu pulang ke Malaysia keesokan harinya.
Menurutnya, dia berkongsi pengalamannya itu agar orang ramai boleh mengambil pengajaran bahawa walaupun kita sudah bersedia tetapi masih boleh berlaku perkara yang tidak diingini.
Perkongsian videonya itu telah meraih perhatian orang ramai dan rata-rata netizen berasa terkejut serta ada yang tertanya-tanya sama ada ia menjadi satu protokol untuk membawa pasport lama bersama walaupun selepas memperbaharuinya.
Malah, ada juga netizen yang mulai risau akan berdepan situasi seperti itu dan berharap mereka tidak akan berdepan situasi di luar jangkaan.