Bekas pemain FSV Mainz 05, Anwar El Ghazi, sekali lagi memenangi kes di mahkamah Jerman menentang bekas kelabnya selepas beberapa siri rayuan yang diajukan oleh pihak kelab ditolak.

Dalam hantaran di akaun X (Twitter), El Ghazi menyindir Mainz sebagai “pasukan kalah bersiri” selepas mahkamah menolak tuntutan terbaharu kelab itu.

Mainz menunjukkan prestasi buruk musim ini dengan banyak kekalahan di atas padang. Dan kali ini satu lagi kekalahan di mahkamah.

Beliau berterima kasih kepada mahkamah Jerman kerana menolak dakwaan “tidak berasas dan tidak masuk akal” oleh Mainz.

Konflik antara El Ghazi dan Mainz bermula pada tahun 2023 apabila kontraknya ditamatkan selepas beliau memuat naik hantaran media sosial menyatakan sokongan kepada Palestin.

Pemain itu menegaskan bahawa pendiriannya adalah soal keadilan dan kemanusiaan, bukan politik, dan tindakan kelab menamatkan kontraknya adalah satu bentuk penindasan terhadap kebebasan bersuara.

El Ghaziu turut menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang “membisukan suara keadilan”, sambil menutup kenyataannya dengan seruan, ‘Viva Palestina!’

Kemenangan terbaharu ini menandakan satu lagi kejayaan undang-undang bagi El Ghazi dalam mempertahankan haknya selepas pemecatan kontroversi oleh Mainz 05.

Di mana kontraknya ditamatkan secara sepihak. Akibat penamatan kontraknya itu, segelintir pihak menggelarnya menyokong pengganas – merujuk kepada Hamas.

El Ghazi sama sekali menafikannya. Dia cuma menyokong keamanan di Gaza.

El Ghazi berkata: “Satu lagi hari, satu lagi perbicaraan, satu lagi rayuan — namun keputusannya tetap sama; kekalahan buat FSV Mainz 05.

“Kekalahan berterusan di atas padang nampaknya belum cukup bagi lembaga kelab itu, jadi mereka terus kembali untuk menambah lagi kekalahan di mahkamah Jerman!

“Saya berterima kasih kepada mahkamah Jerman kerana menegakkan keadilan dan melihat dengan jelas bahawa tuntutan kelab itu tidak berasas dan tidak masuk akal.

“Biar saya jelaskan — kenyataan daripada “pasukan kalah bersiri” FSV Mainz 05 selepas kekalahan terbaru mereka itu sama mengarutnya dengan keseluruhan tindakan dan urusan mereka terhadap saya.

“Saya tidak pernah, dan tidak akan pernah, bersepakat dengan mana-mana individu atau organisasi yang berusaha menutup mulut mereka yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.

“Nilai saya tidak akan pernah seiring dengan mana-mana organisasi yang secara buta menyokong pihak yang dituduh melanggar undang-undang antarabangsa dan melakukan pembunuhan beramai-ramai. Tiada siapa yang berada di atas undang-undang.

“Biarlah kemenangan terbaru ini menjadi mesej yang lantang dan jelas kepada para penghasut perang, sekutu mereka, serta ahli lembaga FSV Mainz 05 yang delusional — kamu tidak akan dapat, dan tidak akan pernah dapat, menutup suara rakyat Palestin dan para penyokong mereka. Viva Palestina!!!”