Kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan dan perinciannya bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Anwar berkata, kajian dan semakan berhubung pelarasan kadar gaji minimum kini berada di peringkat akhir sebelum keputusan itu diumumkan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi menangani jurang pendapatan yang semakin ketara, termasuk dalam kalangan graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.

Katanya, isu gaji di Malaysia perlu diberi perhatian kerana peningkatan produktiviti tidak selari dengan peningkatan kadar upah pekerja.

Dipetik daripada sumber Utusan, Datuk Seri Anwar berkata: “Masalahnya kita sudah naikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan sekarang RM1,700 iaitu minimum untuk sektor swasta. Kadar upah di Malaysia, produktiviti meningkat tetapi kadar upah meningkat sangat rendah.

“Kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan sedikit,” katanya ketika berucap dalam forum pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Anwar turut menyentuh perbezaan kadar bonus antara pengurusan tertinggi dan pekerja bawahan dalam sesebuah syarikat.

Beliau berkata, sejak menjadi Perdana Menteri, kerajaan memberi perhatian terhadap isu ketidakseimbangan tersebut.

“Kadang-kadang bonus untuk ketua pegawai eksekutif (CEO), lapan bulan, pekerja bawahan pula dua bulan.

“Tak setuju, saya patahkan sikap itu. Kalau bonus tiga bulan, CEO pun tiga bulan, pekerja tukang angkat sampah pun sama,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga sudah menetapkan kadar gaji minimum RM3,100 bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejak tahun lalu dan menyifatkannya sebagai penanda aras untuk sektor swasta.

Beliau turut menggesa syarikat besar yang mencatatkan keuntungan tinggi supaya memastikan peningkatan pendapatan pekerja seiring dengan prestasi syarikat.

“Kalau pendapatan berbilion, gaji pekerja masih RM1,700, kita raise the floor,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata kadar upah yang lebih adil turut dilaksanakan dalam sektor awam menerusi pelarasan gaji penjawat awam.

Beliau berkata, pelarasan tersebut membabitkan kenaikan sehingga 33 peratus bagi kumpulan pelaksana dan tujuh peratus bagi gred-gred tinggi.

Perincian mengenai kadar baharu gaji minimum sektor swasta dijangka diketahui menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.