Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat tepukan paling gemuruh daripada pewakilan dan orang besar ketika namanya diumumkan oleh Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto semalam.

Ketika Prabowo berucap di Majlis Pelantikan Presiden Indonesia, beliau sempat mengumumkan nama barisan pemimpin dan tetamu negara lain yang hadir.

Baca Juga:

Namun para hadirin memberikan reaksi berbeza apabila nama Anwar disebut oleh Prabowo sambil disusuli dengan tepukan gemuruh dan meriah sebagai tanda penghormatan.

“Dia kakak (abang) saya,” kata Prabowo kepada Anwar Ibrahim semalam.

Video rakaman kejadian tersebut turut tular di media sosial dan para netizen menyifatkan ini adalah zaman emas hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Kehadiran Anwar di majlis itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama serantau di bawah kepimpinan baharu Prabowo.

Kedua-dua pemimpin juga sempat bertemu secara santai di kediaman Prabowo pada malam sebelumnya, dengan mereka membincangkan pelbagai isu dan inisiatif untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.

“Saya mewakili Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan selamat memulai tugas pada sahabat lama saya, Prabowo,” kata Anwar kepada media.

Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada bekas Presiden Joko Widodo atas khidmat beliau selama ini dan mengiktiraf usahanya dalam mengekalkan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Sejak menjawat jawatan pada November 2022, Anwar sentiasa memberi keutamaan kepada Indonesia sebagai rakan diplomatik utama, dengan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu pada Januari 2023, disusuli dengan penyertaannya di Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo dan Jakarta tahun yang sama.

Selesai menghadiri majlis di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Perdana Menteri kembali ke tanah air dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma pada 1 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).