Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia sekiranya alternatif tempatan yang sesuai dapat dibangunkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, keputusan membataskan penggunaan Waze dibuat atas faktor keselamatan negara, terutama kebimbangan berkaitan lokasi ibu pejabat syarikat itu di Israel dan bidang kuasa undang-undang yang digunakan dalam perjanjian perkhidmatannya.

Beliau mendakwa penggunaan Waze boleh menyebabkan maklumat pengguna diserahkan kepada Israel secara automatik, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat peribadi dan negara.

Ini juga selari dengan pendirian Malaysia yang tegas menentang rejim zinois.

“Ini soal keselamatan rakyat dan negara, saya tidak boleh kompromi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar turut menggesa orang ramai beralih kepada aplikasi navigasi tempatan sebagai alternatif, meskipun mengakui teknologi sedia ada masih mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.

Mengulas mengenai TuJu, aplikasi navigasi yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), beliau mengakui pihaknya telah dimaklumkan bahawa aplikasi berkenaan masih belum lengkap.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan kelemahan aplikasi tempatan tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada matlamat utama kerajaan untuk melindungi keselamatan negara.

Beliau turut mengakui menerima kritikan kerana tindakan itu dianggap terburu-buru, namun menegaskan keselamatan negara perlu diberikan keutamaan walaupun langkah berkenaan mungkin menyusahkan sebahagian pengguna.

Beliau8 menegaskan: “Dalam perjanjian itu memang sudah dinyatakan, saudara pakai sahaja Waze, jika ada masalah, undang-undang yang menentukan adalah milik Israel, tiada undang-undang negara lain.

“Itu yang menyebabkan kenapa saya ambil tindakan agak spontan. Tidak boleh ditangguhkan walaupun sehari sekalipun.

“Walaupun ada orang kata saya patut sabar dan semak dahulu. Saya kata, dah sah jika kita gunakan Waze, secara automatik kita serahkan semua maklumat kepada israel.

“Jadi kita jangan buat kesilapan tersebut.”

Anwar memaklumkan isu berkaitan Waze turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh Lembaga Lebuhraya bahawa TuJu itu kurang lengkap. Seperti dijelaskan menteri di Parlimen, gunakanlah apa sahaja aplikasi navigasi yang berpangkalan di Malaysia walaupun tidak secanggih mana.

“Tidak mengapa, kita akan perbaiki agar menjadi lebih baik dan selamat daripada menyerahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara dan negara kepada israel. Ini penting untuk difahami.”

Setakat ini, kenyataan beliau menunjukkan kemungkinan larangan menyeluruh masih terbuka untuk dipertimbangkan, bergantung pada perkembangan alternatif tempatan dan penilaian kerajaan terhadap isu keselamatan berkenaan.