Sebuah pulau dipenuhi kucing yang dikenali sebagai Aoshima sudah menjadi salah satu bucketlist destinasi yang wajib dilawati oleh pecinta bulus yang datang melawat ke negara Jepun.

Sebagai makluman ringkas “Pulau Kucing” di Jepun, ialah sebuah pulau kecil yang terletak di luar pantai Wilayah Ehime. Ia menjadi terkenal di seluruh dunia kerana populasi kucingnya yang sangat banyak, melebihi bilangan penduduk manusianya.

Pulau ini pada asalnya adalah sebuah perkampungan nelayan yang makmur. Namun, seiring berjalannya waktu, populasi penduduknya semakin berkurang.

Pada masa yang sama, bilangan kucing di pulau itu terus bertambah, menjadikan ia tumpuan utama pelancong dan peminat kucing dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, Pulau Aoshima, bakal mengakhiri era kucingnya dengan penuh rasa sedih dan hiba. Semua kucing yang tinggal di pulau itu dijangka akan pupus dalam tempoh beberapa tahun lagi menurut laporan Japan Inside.

Pulau berkenaan, yang suatu ketika dahulu menempatkan beratus-ratus ekor kucing dan 655 orang penduduk pada tahun 1960, kini hanya didiami oleh 3 orang penduduk warga emas dan populasi kucing yang semakin menua, dengan kesemuanya berusia lebih daripada tujuh tahun.

Ibu kucing menjaga kebajikan haiwan di sini

Aoshima: Pulau Kucing Yang Bakal Sunyi Selamanya
Sumber Gambar: The Guardian/a>

Cukup terkenal dan disayangi di pulau itu, seorang penduduk berusia 73 tahun yang dikenali sebagai “Ibu Kucing” telah menjaga kucing-kucing tersebut dengan penuh dedikasi sejak tahun 2013.

Beliau bukan sahaja menyimpan makanan sepanjang tahun, malah membersihkan najis kucing dari jalan-jalan di pulau itu setiap hari.

Susulan program pemandulan dan pengembirian (neuter) yang diperlukan pada tahun 2018 untuk mengawal populasi kucing yang terlalu banyak, tiada anak kucing baru yang dilahirkan di pulau seluas 0.49 kilometer persegi itu.

Semua semakin menua

Dengan jangkaan “Ibu Kucing” akan pergi akibat faktor usia dan jangka hayat semula jadi kucing-kucing yang sudah menjejak usia penghujungnya, perkhidmatan feri ke pulau itu mungkin akan dikurangkan atau dibatalkan sepenuhnya tidak lama lagi.

Ini menandakan berakhirnya sebuah era bagi salah satu pulau kucing yang paling disayangi di Jepun, di mana pelancong pernah berpusu-pusu datang untuk menyaksikan kehidupan harmoni antara manusia dan rakan-rakan kucing mereka.

Keputusan ini diambil sebagai langkah untuk mengelakkan krisis kemanusiaan kepada haiwan-haiwan tersebut.

Tanpa penjaga, kucing-kucing itu akan menghadapi kebuluran dan penyakit. Walaupun ramai yang berasa sedih, ini dilihat sebagai satu penyelesaian yang terbaik untuk memastikan kebajikan kucing-kucing itu terpelihara.

Bagaimanapun, di ruangan internet, orang ramai berharap agar kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memelihara pulau kucing itu untuk kekal menjadi tarikan utama pelancongan.